Gitar, masjid dan ‘Pak Serban’

SAYA ingatkan yang serban besar tu betul dah bawa saya untuk berubah, sekali saya lihat buku-buku di almari mereka, rupanya mereka Qadiani,” luah rasa Azuar Mat Tasi (Zuar XPDC) semasa satu sesi sembang santai anak muda di Felda Palong 4, 17 Oktober lalu.

Advertisement

“Mujurlah saya tidak ikut mereka, kalau tidak dengan saya sesat sama,” kata beliau sambil menambah memilih wadah PAS untuk bersama berjuang membawa syiar Islam dan menyedarkan khalayak untuk kembali kepada Allah.

Rambut panjangnya diikat kemas, gitar kapoknya dibungkus elok. Keluar dari kereta Kia Spectranya, dia bersama pembantunya terus ke hadapan pentas memasang siap peralatan untuk persembahannya pada petang itu. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Sebelum sampai ke Palong, penulis menghubunginya bagi mengesahkan kehadirannya ke Pentas Anak Muda Palong 4. Sementelahan pula penulis pulang awal kerana dapat panggilan ayah bahawa ibu sakit dan telah dua hari tidak mampu bergerak.

Zuar bersama Bob Lokman (bekas komposer lagu),Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat (Lestari), Dr Riduan Mohammad Nor selain Ustaz Zuhdi Mat Piah (anak mangsa Memali) juga berceramah di sebelah malam.

“Wan, ana masih di Pasir Besar, kejap lagi ana ke Palong, insya-Allah anta bagi lokasi (maps locations). Ana dalam perjalanan sekarang,” Zuar membidik suara menyahut panggilan telefon penulis.

Pentas Santai Anak Muda anjuran Jabatan Pilihan Raya Dun (JPRD) Palong beraksi santai pada petang itu. Kehadiran Zuar XPDC sangat dinanti anak muda.

Usai menjamah sedikit minuman dan makanan yang disediakan penganjur, Zuar ke pentas utama duduk bersebelahan Bob Lokman, AJK Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat (Lestari).

Pentas kali ini anjuran bersama JPRD dan Lestari dalam usaha Lestari membawa misi ke dalam masyarakat, menerangkan bahawa PAS tidak anti kepada hiburan.

Namun lebih penting, genre hiburan yang disampaikan kepada masyarakat harus menitikberatkan soal membawa masyarakat kembali kepada Allah.

“Saya sebenarnya sudah tidak mahu dengar sangat muzik ini. Saya selalu di rumah buka IKIM (radio IKIM.FM). 24 jam saya dengar, suka dengan tazkirah Ustaz Dusuki Rani (Ahmad Dusuki Rani) yang banyak memberi ilmu,” kata beliau.

Sebaik menceritakan pengalamannya mula berhijrah beberapa tahun lalu, Zuar yang kelihatan cergas untuk berkongsi rasa petang itu membuka minda peserta dengan membawa mereka berfikir mengenai kepentingan masjid.

Bagi Zuar, masjid adalah tempat di mana masyarakat harus menjadikannya sebagai wadah membangunkan sahsiah masyarakat.

Zuar melihat, mutakhir ini pelbagai fahaman dan ajaran sesat yang boleh menyerang minda masyarakat, dan masyarakat harus sekali menjadikan agama sebagai benteng kepada pengaruh ini.

Solat

“Pentingnya kita belajar solat, jangan tingal solat. Belajar agama, belajar dari Tok-tok Guru, dan sebab itu saya akhirnya memilih PAS ini untuk saya meneruskan usaha bersama-sama menyedarkan masyarakat. Kalau orang tu solatnya jaga, agamanya bagus insya-Allah dia akan menjadi pejuang Islam khansya bersama PAS,” kata beliau lagi.

Meminati gaya kepimpinan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta almarhum Dato’ Dr Haron Din Al Hafiz, Zuar melihat bahawa kehadirannya dalam PAS sebagai amilin yang akan terus membantu PAS dalam berdakwah khasnya kepada anak muda.

Anak muda hari ini baginya telah banyak menyimpang dengan perkembangan massa, malah ada yang telahpun terikut fahaman dan isme baharu yang bertentangan dengan Islam.  

“Kita harus kembalikan mereka kepada Islam yang sebenar. PAS bukan sahaja parti politik, tetapi sebuah gerakan Islam yang didalamnya ada soal tarbiyah dan dakwah. PAS sahaja di Malaysia ini wadah Islam,” katanya lagi.

Hari ini bagi beliau petikan gitarnya bukan lagi dihalakan untuk nikmat halwa telinga hiburan melekakan, sebaliknya ia menjadi ‘senjata’ dakwah mendekatkan anak muda dengan kesedaran.

Sambil membidik satu lagi keinsafan bagi merancakkan pentas anak muda petang itu, Zuar meluah rasa melalui lagu ketuhanan mengenai perjalanan mengubah kehidupan membawa manusia kepada Sang Pencipta.

Gubahan rasa lagu ciptaanya mengetuk sanubari ramai anak muda, tidak kurang warga emas di Felda Palong 4 pada petang itu. Ada yang tunduk mengalir airmata, ada yang terpegun dan tidak kurang yang menggoyang kepala.

Bekas gitaris kumpulan XPDC itu nyata masih berbisa petikan gitarnya. Kali ini gitarnya bukan lagi dibidik untuk membawa lagu-lagu ‘lahga’ (melalaikan) sebaliknya bait yang dipilih membawa kepada ketuhanan.

Moga Zuar XPDC terus berkarya membawa mesej ketuhanan dan istiqamah dalam perubahan.Tahniah Azuar Mat Tasi. – HARAKAH 20/10/2017

ZuarPalong 1

ZuarPalong 2

ZuarPalong 4

{/mprestriction}