Umno takut bayang-bayang sendiri

KUALA LUMPUR: Pertukaran atau peralihan kuasa pemerintahan sebuah negara bukanlah suatu yang pelik dan merosakkan rakyat, demikian tegas Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
 
Katanya, Umno-BN takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sudah lama berkuasa dan tidak dapat membayangkan jika kekuasaan mereka tidak lagi dapat diteruskan.
 
Hakikatnya ujar beliau, jika Umno-BN memerintah lebih lama, maka lagi parah kehidupan rakyat dan semakin banyak tanah negara serta hasil bumi akan tergadai kepada orang luar.
 
“Rakyat merempat di bumi sendiri, oleh kerana harga barang keperluan yang semakin mencekik kehidupan. Hak untuk menukar kerajaan adalah dijamin oleh Perlembagaan Malaysia,” katanya.
 
Beliau menegaskan, rakyat berhak mendapat kerajaan yang berkebajikan dan menjaga kepentingan semua golongan.
 
Menurutnya, pertukaran kerajaan dan perubahan pemerintahan bagi negara-negara maju adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi.
 
“Bagi rakyat sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang dinamik, kestabilan politik dan keberdayaan ekonomi yang lestari adalah terletak kepada pemimpin yang amanah dan berintegriti tinggi,” katanya. 
 
Beliau menyeru rakyat mencari solusi terhadap masalah tekanan kos sara hidup pada masa sekarang ditambah dengan bebanan hutang negara yang semakin meningkat.
 
Justeru katanya, antara solusi boleh dibuat oleh rakyat ialah dengan menukar kepada kerajaan yang dapat diharapkan untuk mengatasi kemelut ini.
 
“Dalam Islam, kepimpinan adalah amanah besar yang dihitung terus oleh Allah S.W.T. Tugas berat pemimpin adalah menunaikan tanggungjawab ini secara sempurna seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan ditunjuk teladan oleh Rasulullah S.A.W, tegasnya. – HARAKAHDAILY 24/1/2018
Advertisement