Kes peluk Islam bakal digugat

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini amatlah menyedihkan kerana ia menyediakan ‘precedent’ yang anih dalam isu ini di mana Mahkamah Persekutuan meminggirkan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu di dalam kes Subahsini mlwn Saravanan. Walaupun memang terjadi Mahkamah Persekutuan tidak mengikut prinsip mahkamah yang sama sebelum ini kerana ia tidak mengikat tetapi di dalam kes kepentingan awam seperti ini seharusnya mahkamah konsisten dengan keputusan mereka.

Advertisement

Walau apapun sebagai seorang warganegara kita perlu menerima keputusan ini kerana ia dibuat oleh mahkamah yang kompeten. Masyarakat Islam perlu menunggu kes yang lain untuk berhujah semula bagi mengenepikan penghakiman ini.

Saya mendesak semua kerajaan negeri agar meminda undang-undang tubuh masing masing dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh sebagaimana yang terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Trengganu. Dengan cara itu mahkamah syariah akan dilihat sama taraf (at par) dengan mahkamah sivil. Saya juga mendesak semua undang-undang yang menghadkan mahkamah syariah hanya terhad kepada orang Islam sahaja dipinda dengan memberi kelonggaran kepada orang bukan Islam hadir sebagai pihak di mahkamah syariah. Dengan cara ini orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di mahkamah syariah.

Begitu juga semua undang-undang mengenai pemelukan Islam perlu dikaji semula khususnya tatacara pemelukan Islam bagi kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak boleh bertutur lagi umpamanya tidaklah perlu mengucapkan syahadah bagi pemelukan Islam, cukuplah sekadar ibubapanya beragama Islam.

Saya juga khuatir penghakiman ini akan dijadikan alasan oleh pihak Kerajaan untuk memperkenalkan semula pindaan seksyen 88A kepada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang telah ditolak oleh umat Islam arusperdana. Umat Islam perlu menunjukkan kesatuan bagi menolak sebarang usaha memperkenalkan semula seksyen 88A tersebut.

DATO’ HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

HARAKAHDAILY 29/1/2018