Hijab bukan tiket memurnikan yang haram

MUSLIMAT PAS terpanggil untuk menjernihkan kekeliruan wanita Muslimah agar tidak menganggap hijab sekadar fesyen.

Advertisement

Hakikatnya, di dalam al-Quran, Allah S.W.T telah menegaskan gambaran wanita Muslimah seharusnya memelihara aurat seperti dijelaskan yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(an-Nur: 31)

Dalam ayat tersebut, pendidikan menjaga aurat bagi wanita menjadi keutamaan, bahkan menampilkan akhlak mulia kepada masyarakat apatah lagi kaum wanita juga merupakan ibu serta pendidik bagi anak-anak dalam sesebuah keluarga.

Keinginan tampil bergaya yang sentiasa menjadi ikutan anak-anak muda perlu seiring dengan acuan syariat sekali gus memelihara keindahan wanita Muslimah.

Pelancaran tudung oleh Naelofar Hijab milik artis terkenal Neelofa di sebuah kelab malam ternama, Zouk mendapat kecaman hebat daripada netizen bahkan beranggapan majlis tersebut tidak mencerminkan wajah Islam walaupun ianya produk pemakaian Muslimah.

Islam mengajar matlamat tidak menghalalkan cara, walaupun matlamat dan tujuannya baik, namun dengan cara yang tidak elok, ianya tetap dianggap perkara yang menyalahi syara‘.

Kita melihat sekarang terdapat ramai usahawan wanita yang menjual tudung dan shawl seterusnya mempromosikannya melalui media sosial seperti Instagram dan Facebook.

Di kalangan mereka, ramai yang memahami dan menjaga batas-batas yang telah Islam ajarkan seperti Hijab Galeria, Uswah Islamic Clothing dan sebagainya.

Lantaran situasi tersebut, Muslimat PAS ingin menyeru dan mengajak seluruh wanita Muslimah agar memahami dan menghayati intipati sifat kecantikan bukan hanya pada luaran namun ianya ada kaitan dengan kesucian jiwa.

Apabila membawa imej seorang wanita muslimah, seharusnya segala batas syariat perlu lebih terjaga dan terkawal. Sekiranya ada sesuatu yang dirasakan boleh mengundang fitnah yang besar, sebaiknya ia dielak dan dihindarkan.

Binalah generasi sehebat Saidatina Khadijah R.A, seorang usahawan wanita Islam yang membantu perjuangan Islam, setia di sisi suami dalam keadaan susah mahupun senang. Lahirkanlah legasi Rabiatul Adawiyah yang memiliki akhlak mulia dan sentiasa menjaga hubungan dengan Maha Pencipta.

Muslimah Pesona Akhlak Mulia

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
27 Februari 2018 bersamaan 12 Jamadilakhir 1439 – HARAKAHDAILY 27/2/2018