Angkara Najib boleh dicegah

KERAJAAN baru di bawah sistem yang sama pimpinan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Mahathir mula menjalankan pembersihan – bahasa kerajaan PAS Terengganu pimpinan TG Haji Hadi dulu disebut pemutihan.

Advertisement

Selain dari Najib dan isterinya dalam proses penyiasatan, pegawai-pegawai tinggi yang disyaki bersubahat menyorokkan fakta dicuti dan digantung, ratusan pegawai kontrak ditamatkan perkhidmatan serta merta. Semuanya dikatakan dalam rangka meletakkan pemerintahan kembali dalam keadaan yang betul.

Semua nampak laju dan keras tetapi pembetulan memerlukan tindakan segera. Melambatkan tindakan bererti membenarkan kepincangan berjalan lagi. Keburukan sekalipun kecil mesti dihenti segera.

Ia adalah pencegahan dan pemulihan. Pengamal perubatan seperti Dr. Mahathir sepatutnya faham pencegahan lebih baik dari pemulihan. Najib itu tidaklah rosak serta merta, tetapi sistem yang tidak peka dengan dosa dan pahala membenarkan karut yakni korup berperanan. Pencegahan tinggal kata-kata, tindakan tiada.

Angkara Najib bukan bermula ketika menjadi Perdana Menteri. Gema besar sejak jadi Menteri Pertahanan lagi. Urusan tempahan dua kapal selam Perancis dan pembunuhan nyonya Altantuya. Nama baiknya remuk serata dunia. Kerajaan di bawah pemerintahan Tun Abdullah Badawi tidak sungguh-sungguh menanganinya, bahkan di hujung pentadbirannya PM Abdullah melepaskan Menteri Kewangan kepadanya sedang pekung tempahan kapal selam sudah ribut.

Najib bukan pilihan Abdullah sebagai TPM. Mahathir mengenakan tekanan supaya mengambilnya juga. Ketika pekung kapal selam bergema dan kes pembunuhan Altantuya sudah dimahkamahkan, Mahathir mahu Najib menggantikan PM Abdullah. Pertukaran PM berlaku ketika pekung pembunuhan Altantuya bergema.

Penyakit sudah ada, doktor – Mahathir, Umno dan kerajaan – tidak peka dengan pencegahan, bahkan membenar orang yang dilihat karut menjadi pemimpin.

Najib itu sudah dilihat buruk lama sebelum Khairy Jamaluddin mendapati nama Najib di akar umbi Umno dan rakyat seluruhnya buruk. Khairy baru mengetahuinya selepas Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal disingkir sedang ia sudah berakar di akar umbi dan Mahahir sudah keluar lagi dari Umno.

Khairy itu adalah menteri dan orang Umno terpintar, bukan macam Hishammuddin Hussein dan Tengku Adnan Mansor. Orang ramai sudah lama tahu Khairy baru saja tahu. Tetapi dia tidak maklumkan pada Najib. Sesudah Najib ditawan baru dia mengaku menyesal tidak menyampaikan kepada Najib yang di kemuncak kekuasaannya masa itu.

Tun Musa Hitam semasa jadi TPM mengingatkan Umno jangan dirasuk sindrom bisu. Khairy jadi macam itu kerana penyaki sindrom bisulah. Jika yang pintar macam Khairy kena wabak sindrom bisu, apa diharap pada Umno yang lain.

Saidina Abu Bakar as-Siddq dan Saidina Umar al-Khatab ketika mula memegang jawatan khalifah berpesan, tegur aku bila berlaku silap.

Inilah silap orang politik berkuasa tidak berminat mengkaji dan beramal dengan akhlak dan pentadbran Islam. Yang mahukan politik dan kerajaan Islam hanya PAS.

Bila Umno gagal cegah Najib kerosakan bukan pada Najib saja. Negara rosak, rakyat rosak, kerajaan rosak, pegawai rosak, semuanya rosak. Sesudah semua rosak barulah Mahathir datang mencegah keburukan, sedang negara sudah cedera dan kerugian besar dalam segala sesuatu.

Yang menjadikan Najib rosak ialah Umno yang rosak, memakai sistem yang rosak yang merosakkan rakyat dan pentadbiran. Jangan hukum Najib saja. Umno juga dihukum. Pemulihan baru bermula buat negara yang sudah cedera. Mencegah lebih senang dari memulih.

Pemulihan berjaya jika sistem berubah. Jika sistem lama juga, akan berulang kecederaan selepas Najib cedera. – HARAKAHDAILY 21/5/2018