Budi bicara penyusunan jawatan politik

PROSES pembubaran, penggantian dan penyusunan semula mana-mana organisasi Kerajaan Negeri yang ditubuhkan berpaksikan lantikan politik seperti ATRA, TTB, UKOM dan JKKK adalah amalan biasa bila sesebuah kerajaan bertukar teraju. Tak ada apa yang perlu dipertikaikan.

Advertisement

Tentunya kerajaan baru akan membuat penyusunan semula supaya agensi-agensi di bawah kerajaan baru ini mampu menjadi penyampai Misi dan Visi pemerintahan baru kepada rakyat.

Walaupun begitu pertimbangan kemanusiaan diambil kira. Kerana itulah lantikan politik kontrak, sementara dan ad hoc agensi-agensi seperti ATRA hanya akan ditamatkan pada 30 Jun mengambil kira persiapan Ramadan dan raya mereka walau sebenarnya tidak ada peraturan yang menghalang untuk mereka ditamatkan lebih awal.

Mereka pun sudah tak berfungsi lagi sebenarnya. Inilah yang diistilahkan penggantian dan penamatan dilakukan dengan tertib termasuk diteliti syarat-syarat kontrak mereka. Kita bukan bertindak secara semberono.

Kakitangan tetap Kerajaan Negeri tak ada yang ditamatkan. Hanya kakitangan sementara, ad hoc dan kontrak sahaja yang terlibat.

JKKK sendiri sebenarnya sudah tak berfungsi dari tarikh pengumuman keputusan PRU14 lagi. Mereka sendiri sedia maklum bahawa khidmat mereka akan ditamatkan. Tak ada apa-apa kesan negatif dalam masyarakat kampung yang berlaku apabila nanti JKKK akan dibuat lantikan baru. Ini adalah proses biasa saja.

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 26/5/2018