Peguam Negara: Sokong saranan YDP Agong

MAJORITI masyarakat Malaysia adalah orang Melayu yang beragama Islam. Berdasarkan kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia di mana agama Islam adalah agama rasmi negara. Islam adalah agama yang meletakkan keadilan dalam setiap perkara yang diusulkan. Oleh yang demikian, Firman Allah S.W.T:

Advertisement

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(al-Maa’idah: 8)

Islam merupakan satu agama yang meletakkan keharmonian dan keselamatan di peringkat yang paling tinggi sekali berasaskan kepada wahyu al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W. Tidak dinafikan manusia mempunyai had dalam berfikir, tetapi bila menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pedoman dalam sesuatu keputusan, menjadikan manusia lebih matang dan mengelakkan diri daripada berlaku kesilapan.

Ini kerana manusia meletakkan sistem kehidupan dalam landasan yang betul kerana Allah S.W.T berfirman:

“Dia-lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukainya.”

(at-Taubah:33)

Dalam Isu cadangan pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas jika ia adalah benar seperti yang dilaporkan. Dengan ini secara terbuka kami menyatakan sokongan kepada YDP Agong yang meletakkan syarat Peguam Negara mesti beragama Islam. Ini adalah satu perkara yang berasas dan tidak bercanggah dengan sistem perlembagaan yang meletakkan agama islam sebagai agama rasmi negara. Adakah pelantikan Tommy Thomas disebabkan kita mengalami ketandusan orang Islam yang berkepakaran dalam Undang-undang ataupun melantik Peguam Negara ini disebabkan terdapat kepentingan individu tertentu dan kepentingan kelangsungan politik tertentu.

Ini menimbulkan satu konflik masyarakat apabila pelantikan Tommy Thomas diimplimentasi, dan persoalannya:-

1.     Kenapa tidak melantik Peguam Negara di kalangan pegawai di Jabatan Peguam Negara yang telah mendapat banyak pengalaman dan terlatih.

2.     Adakah pegawai di Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai ilmu undang-undang.

3.     Adakah tiada langsung masyarakat Melayu Islam tidak berdisiplin dan tidak berintergriti untuk menjadi Peguam Negara.

4.     Fungsi Peguam Negara adalah sebagai penasihat utama Kerajaan Malaysia, bagaimana orang bukan Islam hendak menasihati pemimpin Islam sedangkan tidak mempunyai pengetahuan Islam dan berlainan agama.

5.     Kebanyakan kes-kes yang menyentuh soal agama Islam tidak mampu dikendalikan oleh Peguam Negara bukan Islam kerana perbicaraannya bukan berasas kepada akidah mentauhidkan Allah S.W.T tetapi berdasarkan logik dan pena’akulan akal semata-mata.

6.     Kedudukan Islam sebagai agama rasmi akan tergugat dan perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia akan boleh terpinda akibat kepentingan individu tertentu.

7.     Tidak menghormati fungsi YDP Agong sebagai Ketua Negara dan Ketua Agama Islam di Malaysia. Secara tidak langsung memberi impak negatif kepada Institusi Raja-raja Melayu di Malaysia akibat mendapat penasihat Undang-undang berlainan agama.

Banyak persoalan-persoalan yang akan timbul sekiranya pemerintah sekarang melantik Peguam Negara di kalangan orang bukan Islam dan secara tidak langsung mengubah sejarah politik Malaysia. Perkara ini perlu diperhalusi dan dikaji sedalamnya sebelum keputusan tersebut dibuat.

Dalam sejarah ketamadunan Islam telah menunjukan Kerajaan Islam Andalus telah mencapai kegemilangan selama 8 abad (710M – 1492M) kegemilangan Kerajaan Islam Andalus tidak dapat dipertahankan akibat pemerintah hendak mendapat sesuatu pembaharuan dalam politik, akibatnya Kerajaan Islam Andalus jatuh dan tidak dapat diselamatkan hinggalah hari ini.

Firman Allah S.W.T:

“Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka.”

(al Baqarah: 120)

Oleh itu, kami menyokong penuh saranan YDP Agong agar kerajaan kini wajib melantik Peguam Negara di kalangan orang Islam, bagi mengelakkan sebarang bentuk ancaman penjajahan minda yang tersirat dan mengelakkan implikasi besar kepada kehidupan masyarakat di Malaysia.

PAS juga mempunyai cadangan eksklusif, sekiranya Kerajaan tidak berminat melantik Peguam Negara di kalangan Pegawai di Jabatan Peguam Negara, untuk membawa keharmonian negara dan mengekalkan keamanan negara kami mencadangkan YDP Agong memperkenankan dan melantik Y.Bhg Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar sebagai Peguam Negara yang baru, yang mana pengalaman dan keilmuan beliau tidak dapat disangkal.

YB AKMAL HAJI KAMARUDIN
Ketua Pemuda Pas Perak – HARAKAHDAILY 3/6/2018