Doakan keselamatan Kapal al-Awda

REJIM laknatullah Israel telah bertindak biadab dan mencabar solidariti sejagat dengan tindakan ketenteraan menawan kapal al-Awda. Perbuatan tersebut mencabar agenda kemanusiaan yang menuntut seluruh dunia menyatakan kutukan.

Advertisement

Kami menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya campur tangan dan memberi tekanan kepada Israel agar segera membebaskan semua aktivis misi ‘Just Future for Palestin‘ yang ditawan itu tanpa syarat.

Kami juga menggesa Kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra menzahirkan autoriti negara ini dengan mendesak Israel supaya menjamin keselamatan wakil tunggal Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh yang menyertai misi tersebut, serta 22 aktivis lain.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Terengganu bersama semua aktivis tersebut belum diisytihar status mereka sejak ditawan Israel pada pukul 7 pagi semalam ketika kapal al-Awda berada 50 batu nautika daripada Gaza.

Kami menyeru umat Islam di negara ini dan seluruh dunia bermunajat agar semua mereka berada di dalam keadaan selamat. Juga doakan agar misi tersebut dapat diteruskan serta berjaya mencapai matlamatnya, selain Palestin mendapat kembali kedaulatannya.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 31/7/2018