Terengganu buka pintu kunjungi muktamar

TERENGGANU terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia membuka pintu kepada rakyat Malaysia berkunjung ke negeri itu sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-64 serta karnival yang bermula hari ini hingga 16 September.

Advertisement

Rakyat Terengganu bagi dua pintu masuk laluan darat di sebelah selatan, Kemaman dan di utara pula Besut sedia menggamit mereka yang kepenatan untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu.

Bagi mereka yang menggunakan selatan Terengganu melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) boleh meneruskan perjalanan mereka hingga ke Kuala Terengganu dan jalan susur untuk terus ke Stadium Tertutup, Gong Badak.

Selain LPT2, pengguna boleh melalui jalan Persekutuan tetapi hendaklah keluar dari Lebuh Raya Pantai Timur melalui Jabor iaitu jalan menghala ke Perlabuhan Kuantan.

Jalan Persekutuan, orang Terengganu panggil jalan lama atau jalan pantai lebih santai bagi mereka yang suka singgah menyinggah ketika memandu kerana Terengganu banyak menyediakan kedai makan yang menyelerakan serta keseronokan ke Pantai Timur.

Sebut keropok lekor, semua bayangkan keenakan keropok lekor Terengganu terutama keropok lekor di Losong, Kuala Terengganu.

Namun, untuk menikmati keropok lekor yang enak, anda boleh rasa kesegaran ikannya sebaik sahaja masuk sempadan Terengganu dan anda boleh terus ke Geliga dan Kuala Kemaman untuk menikmati keropok lekor.

Selain itu anda boleh merasai kenikmatan otak-otak paling enak di Terengganu, daripada ikan tenggiri segar yang disalut rempah dan dibakar sehingga mengeluarkan bau wangi.

Peniaga Kemaman juga menyediakan satar untuk anda nikmati setelah penat memandu.

Bagi mereka yang mahu bersarapan di Kemaman, anda boleh ke belakang Pasar Kemaman untuk merasai keaslian nasi dagang dengan ikan tongkol dengan gulainya yang pekat.

Kalau anda mahu serasi dengan rakyat Terengganu, sebut sahaja ikan aya.

Anda tidak perlu bimbang dengan harga kerana ia tidak semahal RM12 bagi sepinggan nasi dagang di Medan Selera, Keramat AU4, Kuala Lumpur.

Di Terengganu, nasi minyak juga merupakan makanan waktu pagi. Disediakan dengan gulai ayam, daging dan kambing.

Ada satu kelainan orang Terengganu menikmati keropok lekor atau keropok keping, iaitu cara mereka makan bersama mi goreng basah.

Ketika anda menyuap mee goreng basah, anda boleh susuli dengan menyuap keropok lekor dan anda dapat nikmati keseronokan makan gaya orang Terengganu.

Di Kemaman, anda bukan sahaja boleh menikmati selera budaya Pantai Timur bahkan anda boleh menyaksikan peninggalan sejarah, iaitu Masjid Kampung Tuan yang dibina 1830 oleh Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Abdul Samad al-Falimbani.

Abdul Rahman dikenali juga Tuan Mandak, seorang ulama sufi yang berjuang bersama ayah di Petani dan beliau berundur ke Kemaman setelah bapanya, syahid dalam peperangan menentang Siam-Thai.

Kedatangan Tuan Mandak merupakan rombongan besar kedua selepas Lebai Saras dari Petani yang berundur sejak 1785 dan membuka Kemaman.

Kemaman juga menerima pengunduran bangsawan Johor pada awal abad ke-19. Pelarian keluarga Jambi pada awal abad ke 20, akibat perang saudara dan kesan kolonial Belanda.

Masjid Kampung Tuan terletak berhampiran Sungai Limbong didirikan daripada kayu cengal tanpa menggunakan paku kelihatan masih utuh sampai sekarang.

Paling menarik replika buah butung dibuat daripada tembaga atas atap masjid tersebut didatangkan dari Masjid Kerisek Petani yang terkenal pembunuhan kejam tentera Thailand ke atas umat Islam Petani pada 28 April 2004.

Laluan pantai juga menjanjikan keseronakan menikmati panorama indah sepanjang jalan ke Kuala Terengganu, terutama air laut yang menghijau.

Anda boleh menyaksikan air laut dan muara di Paka dan Dungun, semasa melintasi jambatan dengan kelihatan bot nelayan melalui bawah jambatan.

Dijangka 10,000 orang hadir memeriahkan Terengganu bermula semalam hingga Ahad ini berikutan PAS mengadakan muktamar tersebut.

Terdapat perubahan ketara bagi muktamar kali ini, iaitu Ucapan Dasar Presiden PAS diadakan pada pagi Sabtu, tidak sebagaimana kebiasaannya pada pagi Jumaat.

Ini bermakna muktamar penuh PAS hanya bersidang dua hari yang dijangka berakhir dengan ucapan penggulungan Presiden pada sebelah petang Ahad.

Muktamar Dewan Ulamak berakhir semalam, sementara pemuda bersambung hari ini dan muslimat memulakan muktamarnya pada hari ini di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Taman ini didirikan selepas kerajaan Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan PAS bermula 1999 dan kalah pada pilihan raya umum 2004.

Kerajaan PAS menghadapi kesukaran kewangan apabila kerajaan Pusat ketika itu Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad menyekat wang royalti petroleum hak kerajaan Terengganu.

Mahathir menyalurkan wang tersebut dipanggil wang ehsan dengan mereka sejenis kerajaan dalam kerajaan mewujudkan Jabatan Persekutuan yang diterajui pemimpin Umno Terengganu yang tewas kepada PAS.

Rakyat seperti menyedari apa yang berlaku ke atas kerajaan PAS dahulu dan tidak serik untuk memberi kepada PAS menerajui semula Terengganu pada pilihan raya umum, 9 Mei, lalu.

Untuk mengembalikan kegemlangan Terengganu, kerajaan Pusat di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendaklah menunaikan janji mengembalikan royalti kepada negeri pengeluar minyak.

Mengikut perjanjian manifesto PH royalti petroleum ditingkatkan kepada 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak.

Namun bagi kerajaan PAS Terengganu dan Kelantan, cukuplah kerajaan PH menunaikan janji mengembalikan royalti petroleum walaupun tidak naik kepada 20 peratus.

Kata mereka; “Kami tidak tamak. Cukup dengan mengikuti perjanjian yang telah dimeteri dengan negeri pengeluar minyak”. – HARAKAHDAILY 14/9/2018