Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan

UCAPTAMA Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia

Advertisement

“Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan”

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الذي أكرمنا بنعمة الإسلام
وبه نستعين في أمور الدنيا والآخرة
والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وإماما المتقين
وعلى آله ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين،
ربنا آتنا من لدنك رحمة وهيء لنا من أمرنا رشدا،
ربنا افتح بيننا وبين قومنا بالحق وأنت خير الفاتحين
……رَبِّ اَوۡزِعۡنِىۡۤ اَنۡ اَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ الَّتِىۡۤ اَنۡعَمۡتَ عَلَىَّ وَعَلٰى وَالِدَىَّ وَاَنۡ اَعۡمَلَ صَالِحًا تَرۡضٰٮهُ وَاَصۡلِحۡ لِىۡ فِىۡ ذُرِّيَّتِىۡ اِنِّىۡ تُبۡتُ اِلَيۡكَ وَاِنِّىۡ مِنَ الۡمُسۡلِمِيۡنَ‏ ﴿46:15﴾

“……Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk kepada-Mu)”

[al-Ahqaf: 15]

Yang dikasihi saudari Pengerusi Majlis,

Yang dikasihi lagi dihormati perasmi Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ini; Yang Berbahagia Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS bersama isteri,

Ahli-ahli Majlis Syura Ulamak PAS bersama isteri,

Pemerhati-pemerhati Khas PAS Pusat,

To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah, isteri Tuan Guru Dato’ Seri Presiden PAS, beserta isteri-isteri AJK PAS Pusat,

Datin Bentara Setia Hajah Tuan Sabariah, 

Yang Berbahagia Cik Kumutha Raman, Ketua Wanita DHPP beserta AJK-nya,

Para suami Pimpinan AJK DMPM,

Mantan Ketua-ketua DMPM,

Turut diraikan semua tetamu jemputan daripada wakil-wakil NGO, serta pengamal-pengamal media

Yang Berusaha Penyelaras Muktamar DMPM, Puan Dr. Hani, Setiausaha DMPM beserta semua petugas panitia di pelbagai peringkat,

Puan Pengerusi Tetap dan Timbalannya serta para Pemeriksa Kira-kira DMPM,

Yang dikasihi Ketua-ketua DMP Negeri-negeri atau wakilnya,

Ketua-ketua DMP Kawasan-kawasan beserta seluruh perwakilan,

Yang Berbahagia Puan Hajah Zarani Othman, Ketua DMPN Terengganu beserta anak buahnya yang menjadi tuan rumah pada tahun ini,

Seterusnya hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Saya ucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bikum di atas kehadiran semua. Selamat bermuktamar kepada para perwakilan, dan selamat bertugas kepada semua petugas.

Semoga kita semua dalam lindungan Allah S.W.T, dipermudahkan segala urusan dan diterima kerja buat kita sebagai amal soleh yang dapat membahagiakan kehidupan kita dunia dan akhirat. Amin.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Mensyukuri kurniaan-Nya

Alhamdulillah kali ini kita bermuktamar di Negeri Terengganu Darul Iman. Negeri ini amat sinonim dengan Dewan Muslimat PAS kerana Dewan Muslimat pertama telah ditubuhkan di sini lebih 60 tahun yang lalu. Ia ibarat seperti sirih pulang ke gagang. Apatah lagi setelah PAS kembali mengepalai pemerintahan Kerajaan Terengganu meskipun tiada calon Muslimat PAS yang bertanding dalam PRU-14 yang lepas di bumi Terengganu ini. 

Belum terlambat juga untuk saya mengulangi ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak terutama pada Muslimat PAS yang dikasihi kerana telah bertungkus-lumus menjayakan agenda organisasi jemaah kita. Penat-jerih anda di semua peringkat seluruh pelosok negara adalah jihad dalam usaha memenangkan PAS pada PRU-14 sehingga meraih kemenangan majoriti besar di Kelantan dan Terengganu termasuk menambah kerusi di Pahang dan Kedah serta berjaya meletak wakil kita di negeri-negeri yang lain di Pantai Barat.

Alhamdulillah kita bersyukur atas ketentuan-Nya. Mudah-mudahan kita akan terus dikurniakan kesabaran dan istiqamah oleh Allah Rabbul Jalil bagi menjadi mata-mata rantai perjuangan warisan para Anbia, Rasulullah S.A.W dan para solihin terdahulu. Biarlah kita tetap teguh dengan dasar perjuangan yang jelas dipandu oleh ulamak silih berganti. Marilah kita melafazkan doa syukur kita sebagaimana yang diajar oleh Allah S.W.T seperti dalam ayat yang telah saya baca awal tadi.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Malaysia Baru

Kita baru sahaja menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan Ke-61 dalam suasana yang dinamakan “Malaysia Baru”. Fenomena kebangkitan dan keberanian rakyat menukar tampuk pemerintahan Kerajaan Pusat dan beberapa Kerajaan Negeri daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) hingga tempiasnya mengena juga kepada PAS dengan kejayaan mengekalkan penguasaan di Kelantan dan merampas semula Negeri Terengganu. Ianya mencatat sejarah bahawa buat pertama kalinya BN menjadi pembangkang di Pusat dan beberapa buah negeri. Terlihat juga kenyataan sejarah Parti Kongres India dan Parti Liberal Jepun berulang lagi kerana kuasa rakyat di Malaysia.

Namun tiada dapat dinafikan dan disembunyikan lagi setelah tempoh 100 hari PH memerintah sudah mula gelombang keresahan menular khususnya bagi umat Melayu Islam. Pelbagai isu berkaitan hak-hak yang dijamin termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam, hak-hak keistimewaan Raja-raja Melayu dan bumiputera serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan mula dipertikaikan seolah-olah sengaja ditimbulkan tanpa mengambil kira sensitiviti agama serta keharmonian kaum yang telah lama terbentuk. Dasar-dasar serta kontrak sosial warisan kita yang telah termeterai hasil pengorbanan nenek moyang kita para pejuang kemerdekaan negara telah mula hendak dikesampingkan. Tindakan biadap ini amat dikesalkan dan perlu ditangani dengan tegas dan berani secara berhemah.

DMPM mengingatkan semula kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada para penyokong PH bahawa keharmonian dalam kepelbagaian ini perlu dijaga sebaik-baiknya. Amanah kekuasaan yang diberi oleh Allah S.W.T perlu dijunjung setia untuk memelihara keharmonian dan membina negara ke arah kemajuan yang dapat membela survival rakyat jelata. Terutamanya tunggak dan dasar-dasar yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan terhadap kedudukan agama Islam tidak boleh diambil mudah dan dikesampingkan. Kita yakin inilah dasar-dasar yang dapat menjamin keharmonian dalam kepelbagaian ini kekal, insya Allah.  

Usaha-usaha murni ke arah menjamin keharmonian dalam kepelbagaian ini hendaklah dikekalkan. Janganlah kita alpa disebabkan kemaruk kuasa. Jangan kita lupa bahawa kedudukan dan sokongan umat Melayu Islam grass-root yang membentuk majoriti negara tercinta ini dalam mencapai kestabilan dan keharmonian agar usaha-usaha membina kemajuan negara dapat berjalan lancar tanpa halangan-halangan yang rumit.

Jangan kita cuba mencabar sikap toleransi umat Melayu Islam yang telah terjalin selama ini. Sikap toleransi yang unik; sanggup berkongsi kuasa dengan etnik lain secara harmoni yang diajar Islam serta tiada terdapat di mana-mana negara lain di dunia kini. Sesungguhnya tempoh 61 tahun kita bebas dari pengaruh penjajah sepatutnya telah mengukuhkan sikap dan tindak-tanduk yang matang dan sejahtera.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi,

Istiqamah dengan prinsip-prinsip Islam 

Bersempena dengan tahun baru Hijrah 1440 yang disambut pada 1 Muharram bersamaan 11 September 2018 yang lalu serta Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September 2018 nanti, marilah kita meningkatkan daya juang dan memperbaharui keazaman kita untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap agama dan negara tercinta ini.

Tidak perlu kita tercari-cari dan menoleh ke belakang lagi. Hadapkanlah komitmen dan istiqamah kita kepada jalan ataupun cara yang telah ditunjukkan oleh Allah S.W.T serta telah direalisasikan oleh Baginda Rasulullah S.A.W; iaitu jalan Islam. Rasulullah S.A.W telah menjelaskan istiqamah itu kepada para Sahabatnya dengan satu garisan lurus dengan cabang-cabang garisan lain yang dilakar di atas tanah sambil menyebut firman Allah;

وَاَنَّ هٰذَا صِرَاطِىۡ مُسۡتَقِيۡمًا فَاتَّبِعُوۡهُ وَلَا تَتَّبِعُوۡا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَنۡ سَبِيۡلِهٖ ذٰ لِكُمۡ وَصّٰٮكُمۡ بِهٖ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُوۡنَ‏ ﴿6:153﴾

“Dan inilah jalanku yang lurus hendaklah kamu semua mengikutinya, jangan kamu semua mengikut jalan-jalan yang lain yang akan mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu bertaqwa.”

[al-An’am: 153]

Jalan yang lurus itu ialah garisan tengah yang jelas bermaksud istiqamah bersama Islam. Adapun cabang-cabangnya adalah jalan yang terpesong daripada istiqamah, sama ada agama Samawi yang menyeleweng dan dimurkai oleh Allah (الۡمَغۡضُوۡبِ عَلَيۡهِمۡ) atau yang sesat (الضَّآلِّيۡنَ) ataupun agama bukan Samawi ataupun apa saja idealogi dan teori ciptaan manusia.

Keunggulan istiqamah yang ditunjukkan oleh Baginda S.A.W dalam sejarah umat Islam sebagai teladan, bermula dengan membangunkan insan, membina jemaah yang kukuh seterusnya menegakkan negara. Telah terbukti kejayaannya yang tidak boleh dicapai oleh agama-agama yang lain, sama ada Samawi mahupun bukan Samawi. Malah gagal diperolehi oleh mana-mana idealogi dan teori ciptaan manusia. Kemenangan hakiki yang membawa keberkatan dan menuju wawasan akhirat, bukan kemenangan persepsi yang melekakan dan menyesatkan.

Hadirin dan hadirat,

Memacu kemenangan

Kita meyakini bahawa umat Islam yang berjaya khususnya Muslimat PAS tetap beristiqamah; iaitu mereka menuntut ilmu Fardhu ‘Ain dan melaksanakan tuntutannya di samping ilmu-ilmu Fardhu Kifayah bagi memakmurkan kehidupan dunia ini dengan Islam, berakhlak rabbani iaitu sentiasa berhubung rapat dengan Allah, berjemaah dan setia kepada bai’ah untuk melaksanakan risalah Allah S.W.T, tetap dengan dasar-dasar perjuangan dan matlamat Islam serta bertawakal dan husnu zon terhadap segala ketentuan-Nya. Teguh beristiqamah dapat membina sikap bagi memacu kemenangan perjuangan suci ini. Firman Allah S.W.T;

يٰۤـاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوا اصۡبِرُوۡا وَصَابِرُوۡا وَرَابِطُوۡا وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُوۡنَ‏ ﴿3:200﴾

“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu bersabar dan perkuatkan lagi kesabaran sesama kamu, bersiap siaga dan bertaqwa, moga-moga kamu peroleh kejayaan.”

[ali-‘Imran: 200] 

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah, 

Sirah teladan Muslimat Istiqamah  

Marilah kita menelusuri sebentar sirah perjuangan gerakan Muslimat Istiqamah yang telah berjaya memacu kemenangan Islam.

Wanita ulung Saidatina Khadijah R.A ketika menyedari suaminya Saidina Muhammad S.A.W dipilih Allah sebagai Rasul-Nya, tanpa ragu dan menoleh ke belakang menyambut semboyan Kenabian Baginda dengan penuh keyakinan. Ketika mula berhadapan dengan tekanan dan penentangan, beliau telah mencurahkan seluruh kapasiti yang ada pada dirinya; tenaga, masa dan harta demi sebuah pengorbanan bagi memacu dakwah dan perjuangan Rasulullah S.A.W sehingga penghujung hayatnya.

Kita juga menginsafi peranan Sahabiyah; Nusaibah yang ditampilkan dalam sirah perjuangan awal Islam sebagai Muslimat Istiqamah yang dapat memacu kemenangan dalam peristiwa Perang Uhud bersama-sama menjadi benteng mempertahankan Rasulullah S.A.W.

Kita juga kagum dengan ketinggian ilmu dan kemasyhuran Saidatina Aisyah R.A sebagai muallimatur rijal wal ajyal (mahaguru tokoh dan genarasi). Ummul Mukminin yang dipilih Allah S.W.T giat memacu dan membimbing umat Islam dengan kefaqihan ilmu yang diwarisi daripada Rasulullah S.A.W terus istiqamah walaupun setelah kewafatan Baginda.

Perlu kita sedari dalam kita berbangga dengan tokoh-tokoh Muslimat Istiqamah silam yang mewakafkan jiwa raga mereka mendukung perjuangan Rasulullah S.A.W, mereka sebenarnya tidak sempat melihat kemenangan hasil jihad dan pengorbanan mereka.

Saidatina Khadijah R.A tidak sempat melihat sendiri tertegaknya sebuah Negara Islam Madinah. Nusaibah pula tidak sempat melihat hasil jihad dan pengorbanannya sehingga tentera Islam berjaya membuka Wilayah Parsi dan Rom.

Malah Saidatina Aisyah R.A tidak sempat melihat perkembangan pesat ilmu-ilmu warisan Islam periwayatan beliau daripada Rasulullah S.A.W menerobos masuk ke Andalusia dan benua Eropah.

Catatan sejarah dengan tinta emas sirah perjuangan para Muslimat Istiqamah silam sebagai manifestasi kemenangan Islam sehingga dapat kita warisi kini. Jihad mereka memberikan teladan dan membimbing kita khususnya Muslimat tidak perlu kepada demonstrasi dan laungan emansipasi wanita atau gerakan Feminisme seperti rakan-rakan kita di Barat. Malangnya ada anasir-anasir dan konco mereka di Malaysia terikut-ikut budaya Barat dengan menolak dan mengkesampingkan petunjuk Ilahi di zaman ini.

Sejarah Istiqamah Muslimat PAS

Firman Allah S.W.T;

فَاسۡتَقِمۡ كَمَاۤ اُمِرۡتَ وَمَنۡ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡا اِنَّهٗ بِمَا تَعۡمَلُوۡنَ بَصِيۡرٌ‏ ﴿11:112﴾ وَلَا تَرۡكَنُوۡۤا اِلَى الَّذِيۡنَ ظَلَمُوۡا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَـكُمۡ مِّنۡ دُوۡنِ اللّٰهِ مِنۡ اَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنۡصَرُوۡنَ‏ ﴿11:113﴾

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas Hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”

[Hud: 112-113]

Kita juga perlu mengambil iktibar daripada pejuang-pejuang Muslimat PAS yang istiqamah di masa lampau. Kita sebenarnya mewarisi perjuangan atas setiap penat jerih serta pengorbanan mereka sehingga tertubuhnya jemaah kita, PAS pada tahun 1951 dan Dewan Muslimat PAS pertama 2 tahun kemudian iaitu pada tarikh keramat 3 Januari 1953.

Usia DMPM sejak ditubuhkan telah menjangkau 65 tahun merupakan manifestasi hasil usaha yang istiqamah daripada perjuangan Muslimat-muslimat terdahulu yang telah tiada lagi di dunia ini dengan kepimpinan yang silih berganti penuh keyakinan dan ketabahan.

Keberadaan mereka pada masa itu tidak dapat kita bayangkan betapa susah dan peritnya dalam segala bentuk kekurangan. Hanya dengan keyakinan yang tulus ikhlas tanpa adanya markas atau pejabat khusus seperti yang kita ada sekarang, tidak memiliki kelayakan ilmu yang tinggi, tiada latihan kemahiran berorganisasi ataupun ilmu pengurusan organisasi yang khusus, tiada upah dan imbuhan, juga tiada kemudahan pengangkutan, tetapi mereka gigih memasuki kampung-kampung dari satu kawasan ke satu kawasan hanya kadang-kadang dengan berjalan kaki menyebar risalah dakwah di samping memotivasikan diri untuk terus istiqamah dalam jihad dan pengorbanan.

Kita semestinya menghargai pengorbanan mereka dengan bersungguh-sungguh, lalu bersama-sama dalam meneruskan perjuangan ini yang kita warisi dari mereka. 

Hasil usaha kegigihan mereka dalam memperkukuhkan organisasi jemaah adalah aset yang sangat bernilai untuk kita meneruskan kecemerlangan. Tiada alasan yang konkrit untuk menidakkan kesungguhan, kegigihan dan istiqamah mereka sehingga jemaah PAS tertegak gagah di persada politik Malaysia kini.

Sayugia juga kita sedari bahawa dengan kekuatan tenaga Muslimat as-Sabiqat (veteran) yang kaya dengan pengalaman, Muslimat senior dan junior dalam pelbagai bidang kemahiran, juga memiliki pendidikan tinggi dan kelayakan sehingga ke tahap sebagai hafizah, ‘alimah faqihah, berketerampilan dan pakar dalam pelbagai disiplin ilmu sehingga ke tahap profesional mendapat pengiktirafan di peringkat negara dan antarabangsa. Sudah pasti gerak kerja kita lebih berstrategik dan tidak bersikap sambil lewa serta terlepas pandang bagi memacu jemaah kita ke arah kecemerlangan. Sudah terbukti bahawa kepimpinan Muslimat PAS sejak dahulu dapat menggembleng tenaga-tenaga Muslimat dengan istiqamah memacu kemenangan dengan izin Allah S.W.T.

Hadirin dan hadirat,

Pasca PRU-14 dan Ta’awun Siyasi

Kita semestinya bersedia untuk membuat anjakan paradigma terhadap suasana politik pasca PRU-14 dengan terbentuknya Kerajaan Pusat yang baru di Putrajaya. Kerajaan PH dilihat agak kurang mendapat sokongan majoriti umat Melayu Islam tradisional yang menjadi akar umbi majoriti rakyat. 

Kerajaan PH juga dilihat tersepit dengan kebangkitan dan tuntutan yang kadangkala seolah-olah ingin merubah janji setia pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu daripada pimpinan bukan Islam mereka sendiri. Suara-suara pemuka bukan Islam dengan majoriti Ahli-ahli Parlimen bukan Islam sebanyak lebih 60 orang semakin tambah mendesak tanpa segan silu.

Ahli-ahli Parlimen Muslim mereka seramai 58 orang pula tidak sekata dan berpolitik untuk kekal berkuasa dengan sikap serta pandangan yang dilihat umum mesra dan menyebelahi tuntutan tersebut.

Jelas isu-isu kewanitaan dan kekeluargaan terutama yang berkait dengan agama Islam sedang digembar-gemburkan dengan polemik politik seolah-olah untuk menjana persepsi buruk terhadap PAS dan pentadbiran kerajaan terdahulu. Isu-isu perkahwinan “bawah umur” tanpa merujuk ijtihad dan kesepakatan ulamak muktabar, penderaan anak-anak di pusat-pusat asuhan, perjalanan segelintir maahad tahfiz dan sekolah-sekolah agama rakyat berasrama, tuntutan Feminisme dan LGBT, hak-hak tanggungjawab wanita Islam untuk berpakaian menutup aurat dan patuh syariah, sudah mula dimomokkan di media cetak arus perdana dan media elektronik serta media sosial. Segala gejala kemelut yang berlaku ini seolah-olah hendak diletakkan kesalahan kepada PAS dan kerajaan terdahulu.

Trend yang berlaku sekarang, Kerajaan PH sering menyalahkan pihak lain di atas kegagalan mereka menunaikan janji manifesto dalam tempoh 100 hari dengan alasan bahawa manifesto bukanlah kitab suci yang mengikat mereka patuh pada janji-janji mereka sendiri. 

DMPM ingin menasihati Kerajaan PH bahawa cukup-cukuplah asyik menyalahkan pihak lain. Rakyat mengharapkan mereka fokus berusaha memperbaiki keadaan dan menjaga kemaslahatan rakyat terutama mereka yang terpinggir dan tertindas.

Kita juga menyedari bahawa kemunculan beberapa isu tersebut sudah berlarutan lama sebelum PH membentuk kerajaan baru hasil daripada serangan pemikiran dan budaya, pemikiran Liberalisme, orientalis dari Barat dan musuh-musuh Islam dalam selimut dengan agenda Islam Liberal mereka.

Kita perlu berhati-hati dengan mempertingkatkan usaha-usaha ke arah pengukuhan fikrah aqidah sahih Ahli Sunnah Wal Jamaah pegangan kita. Natijah ini memerlukan kita istiqamah memperkasa agenda pengukuhan aqidah dalam kalangan masyarakat serta kalangan Muslimat kita sendiri selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulamak sebagai panduan.

Kita juga harus sedar tentang status Umno atau BN yang bukan lagi sebagai kerajaan pemerintah, tetapi telah menjadi pembangkang seperti kita. Usaha Ta’awun Siyasi di atas kejatuhan Umno atau BN tidak boleh dipandang sepi oleh kepimpinan DMPM serta semua ahli Muslimat. Jangan pula ada suara-suara sumbang yang terbawa-bawa dengan angkara-angkara lepas tanpa melihat tugas dan tanggungjawab dakwah kita dalam meneruskan kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar dalam menyantuni sasaran mad’u kita.

Kita juga mengalu-alukan perubahan sikap Umno dalam membantu kempen calon PAS di PRK Seri Setia, Selangor. Perubahan sikap ini juga dicontohi oleh pihak Malaysian Indian Congress, MIC dan Indian Progressive Front, IPF yang mewakili sebahagian etnik India demi memperkasa suara pembangkang yang kuat di Dun Selangor juga di atas kepentingan bersama dalam membela survival rakyat jelata. 

Kita harus mengambil iktibar daripada anjakan paradigma para Sahabat Rasulullah S.A.W terhadap Saidina Umar al-Khattab R.A dan Khalid ibnu Walid R.A di mana semasa zaman jahiliyah, mereka adalah musuh paling sengit terhadap Baginda.

Islam mengajar kita agar bekerjasama dalam kebajikan dan tidak bekerjasama dalam perkara maksiat terhadap Allah S.W.T. Kita diajar berlapang dada boleh berta’awun dengan sesiapa saja yang sudi bersama kita dalam perkara kebajikan dan makruf, biarpun di pihak kerajaan ataupun pembangkang. Sesungguhnya jika kita setia kepada bai’ah dan wala’ kepada kepimpinan dalam perkara makruf ini, kita tidak mudah keliru dan sangsi serta hilang daya tahan.

Sayugia disemat di dalam tekad kita bahawa peranan kita sekarang adalah sebagai pembangkang yang berwibawa di peringkat Pusat, menegur dan menasihati pihak kerajaan dan menjadi suara semak dan imbang untuk memelihara keadilan dan survival rakyat. Menjadi tugas kita juga untuk membina kesepakatan suara-suara pembangkang yang kuat dalam memelihara keadilan dan kesejahteraan rakyat, tuntas melaksanakan misi ini dalam sistem demokrasi yang berjalan sekarang dengan patuh kepada keputusan-keputusan Majlis Syura Ulamak sebagai panduan.

Pengukuhan kesepakatan suara-suara pembangkang dalam kerangka melaksanakan yang makruf dengan memperbanyakkan kawan dan tidak mencari musuh serta mengurangkan kemudharatan juga mengutamakan kepentingan Islam demi kesejahteraan rakyat seluruhnya selaras dengan ajaran Islam. Tindakan ini bukanlah suatu perkara baru, sebenarnya ia telah dilaksanakan oleh kepimpinan masa lalu yang tercatat dalam lipatan sejarah. Ingatlah kita firman Allah S.W.T;

……وَتَعَاوَنُوۡا عَلَى الۡبِرِّ وَالتَّقۡوٰى وَلَا تَعَاوَنُوۡا عَلَى الۡاِثۡمِ وَالۡعُدۡوَانِ وَاتَّقُوا اللّٰهَ اِنَّ اللّٰهَ شَدِيۡدُ الۡعِقَابِ‏﴿5:2﴾

“……Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya”

[al-Maidah: 2]

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Pelan tindakan DMPM panduan istiqamah  

Alhamdulillah, bagi memudah dan menyelaraskan DMP di semua peringkat, pelan tindakan DMPM telah dan akan ditambah baikkan dari masa ke semasa. Ianya sekali gus akan dapat memimpin dan memandu halatuju gerak kerja Muslimat sehingga ke akar umbi dalam satu jemaah yang besar ini. Segala permasalahan yang dihadapi dengan jumlah anggota PAS yang berdaftar hampir mencecah satu juta orang dapat diatasi jika semua anggota patuh pada peraturan dan arahan insyaAllah.

Inilah gambaran jelas di mana semua anggota istiqamah dalam tanzim yang tersusun rapi. Diharapkan segala dokumen peraturan dan arahan berkaitan telah diperturunkan ke bawah dan diperhalusi oleh pelbagai peringkat entiti DMPM terutama di peringkat kawasan dan cawangan. Keselarasan langkah-langkah ini akan membentuk satu kekuatan dan gelombang yang kuat ke arah menuju Visi dan Misi DMPM serta akan dapat mencapai impian kita.

Visi DMPM ialah menerajui gerakan wanita yang merangkumi kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat serta kesejahteraan dan keharmonian negara. Sebuah negara yang dirahmati dan diberkati di mana nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya terlaksana menuju keredhaan Ilahi.

Manakala Misi DMPM pula adalah;

●     Membina para amilin dan kepimpinan ‘AKIFI (‘Alim, Haraki dan Sufi) dengan tanzim pentarbiyahan bersepadu dan pengurusan yang profesional.

●     Membudayakan sikap Politik Matang dan Sejahtera yang mengutamakan kepentingan Islam dan keharmonian rakyat dalam urusan pentadbiran negara yang berkait dengan hal ehwal wanita.

●     Membentuk wanita, anggota keluarga dan masyarakat yang matang, berakhlak dengan nilai-nilai murni Islam ke arah kesejahteraan.

●     Memartabatkan wanita dan peranannya dalam negara serta di persada antarabangsa.

Adalah menjadi tekad kita di atas berkat istiqamah semua anggota dan kerjasama yang baik serta memperoleh keahlian Muslimat yang semakin bertambah terutama daripada kalangan Muslimat Muda, kita akan dapat meraih kecemerlangan. Para anggota yang memiliki kepakaran dan kemahiran dalam pelbagai disiplin ilmu, dan juga para kepemimpinan yang terlatih dan berstrategik bersiap-siaga menabur bakti daripada pelbagai peringkat umur yang rencam, DMPM akan terus menggalas dan mampu memacu kemenangan Islam yang gemilang, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi,

Memperluas dan memacu entiti pentarbiyahan dan latihan 

DMPM merasa cukup bertuah dengan perkembangan positif Akademi Pendidikan Saidatina Aisyah–APSA di seluruh negara. Penubuhan cawangan-cawangan di Sabah (Tawau), Pahang, Perak, Selangor, Kedah dan Perlis dapat berjalan lancar. APSA akan diperluaskan lagi di negeri-negeri lain terutama di zon Selatan dan Pantai Timur.

Selain penawaran Diploma Eksekutif Naqibat (DEN), APSA telah bergerak melangkah ke hadapan dengan penawaran program baru bagi memenuhi tuntutan Misi DMPM dan keperluan masyarakat seperti Kursus Rawatan Syifa’, Kesihatan dan Urutan Saraf Wanita. Kursus Kepimpinan ‘AKIFI juga dipertingkatkan bagi melahirkan tenaga kepimpinan Muslimat yang terlatih, berketerampilan dan berdaya saing yang juga berisitiqamah mendukung dasar-dasar perjuangan PAS selaras dengan Resolusi Usul Muktamar DMPM tahun lepas.

Kewujudan Taman Asuhan Tunas Insan-TASTI di seluruh negara telah bertambah kepada lapan buah. Iaitu 3 di Kedah, sebuah masing-masing di Perlis, Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor dan Sabah. Produk pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak berumur bawah 3 tahun ini diselenggarakan secara profesional. Kita mengharapkan pembukaan TASTI dengan modul pendidikan yang berteraskan al-Asma’ al-Husna mampu mengisi lompang kepincangan yang berlaku di pusat-pusat asuhan tajaan swasta pada hari ini. Menjadi harapan kita juga TASTI dapat menampung penerusan agenda PASTI yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS.

Semua produk DMPM yang telah dilancarkan dan sebahagiannya sudah bermula sebagai perintis di negeri-negeri, sangat memerlukan komitmen tinggi daripada tenaga pakar Muslimat dalam bidang pendidikan kewanitaan, kekeluargaan dan pendidikan awal kanak-kanak mengikut perspektif Islam.

Produk-produk ini juga diharap dapat menghubungkan entiti pendidikan PAS dengan masyarakat setempat. Ia juga seharusnya mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada anggota Muslimat PAS sendiri untuk menghantar anak-anak kecil mereka ke TASTI berdekatan.

Memacu kemenangan secara berfasa dan istiqamah  

Sebagaimana kita fahami dan hayati bahawa PAS adalah sebuah jemaah atau gerakan Islam yang memberi fokus kepada 3 segmen utama iaitu Tarbiyah, Dakwah dan Siyasah. Ketiga-tiga elemen ini perlu diberikan penekanan serius agar setiap anggota penggerak PAS sama ada Muslimin, Muslimat, Pemuda dan Muslimat Muda mesti menjadi penggerak rabbani.

Penggerak rabbani yang selesa menyantuni masyarakat, kompeten dan profesional dalam tindakan dan amalan selaku ikon mesra masyarakat. Tindakan ini perlu berpandu kepada latihan dan panduan ilmu-ilmu teras Islam dan tatasusila yang berakhlak mulia.  

Oleh itu DMPM akan menurunkan pengarahan kepada seluruh penggerak Muslimat pelbagai peringkat, susunan gerak kerja berfasa yang memfokuskan kepada beberapa sasaran utama, insyaAllah.

Umpamanya;

1.     Fasa 1 adalah bagi pembinaan kekuatan dalaman dengan ilmu dan kemahiran pengurusan organisasi. Keutamaan ini bagi mengelakkan pertindihan melampau, gerak kerja yang tidak terancang sehingga menyebabkan “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

2.     Fasa 2 adalah menggalak dan memantau agar penggerak DMPM mengaplikasikan kemahiran bersosial dan mesra masyarakat dengan mengajak masyarakat bersama-sama PAS dalam agenda “Sejahtera Bersama Islam”.

Agenda ini akan diperhalusi dan dikembangkan mengikut maklum balas daripada penggerak-penggerak serta pakar-pakar kemasyarakatan yang dapat digembleng dalam DMPM serta penggiat profesional luar yang mesra PAS. Sesungguhnya apa yang diharapkan agar penggerak-penggerak yang terlatih dan matang ini dapat membantu Kerajaan Kelantan dan Terengganu menjadi model pemerintahan yang mesra rakyat, bertindak telus dan bijaksana, adil dan saksama bagi kesejahteraan semua rakyat jelata.

Kejayaan Kerajaan Kelantan dan Terengganu akan mengukuhkan sokongan rakyat negeri tersebut khususnya dan membuka mata rakyat Malaysia amnya, insyaAllah. Kejayaan ini juga membuktikan kepada rakyat bahawa PAS adalah parti pemerintah yang efektif dan boleh diharap bagi mengurus negara secara adil dan sejahtera.

Hadirin hadirat yang dikasihi,

Cabaran dan halangan pasca PRU-14

Pasca PRU-14 memberi 1001 pengajaran buat kita semua. Tentunya kita akan merasakan semakin bertimbun kerja-kerja dakwah yang perlu dilaksanakan dengan terancang dan tersusun rapi. Keperluan gerak kerja ini semestinya dapat dirasakan sama ada di negeri-negeri di mana parti kita memerintah mahupun di negeri-negeri lain yang parti kita belum menang besar menguasai kerajaan.

Setelah melepasi 100 hari Kerajaan PH mentadbir Malaysia, rakyat sudah mula sedar bahawa sebenarnya PH sememangnya tidak yakin penuh mereka akan menjadi pemerintah, tidak juga bersedia untuk jadi pemerintah dengan hamburan janji-janji popular yang mereka juga yakin tidak akan dapat dipenuhi.

Sebahagian golongan muda yang menyokong mereka sudah mula merasa kecewa dan tertipu dengan tindak-tanduk Kerajaan PH sekarang. Golongan muda yang idealistik, lahir selepas merdeka dan tidak sabar mahukan perubahan serta ada antara mereka yang bergelar “First Time Voters–FTV” ini tiada pengalaman tipu helah pilihan raya serta terpengaruh dengan ledakan media sosial.

Keyakinan mereka terhadap pelaksanaan janji-janji penangguhan dan pelupusan hutang PTPTN dan penjanaan 1 juta peluang pekerjaan baru kepada graduan-graduan yang menganggur serta pencari pekerjaan tetap yang dijanjikan oleh PH telah luntur hanya bagai mimpi di siang hari. Malah mereka mendapat ancaman, Kerajaan PH sanggup bankrapkan mereka jika tidak berjaya melunaskan hutang PTPTN mereka.

Keresahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup tidak langsung dapat ditangani oleh kerajaan baru. Penghapusan cukai GST dengan pelaksanaan cukai lama SST berjenama baru tidak menampakkan sebarang pengurangan kos sara hidup. Malah ada produk dan perkhidmatan yang meningkat harganya dengan adanya SST. Rakyat marhaen golongan bawah (B40) yang teruk terjejas dengan kenaikan kos sudah mula muak mendengar alasan-alasan Kerajaan PH yang asyik menyalahkan pentadbiran lama atas kegagalan mereka.

Pendek kata terjadi pula persepsi kemelut keyakinan terhadap Kerajaan PH ibarat kata pepatah, “keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau”. Kekecewaan ini amat dirasakan oleh segmen masyarakat akar umbi yang tertindas dan terpinggir. Bukti ini jelas terserlah dengan keputusan PRK Sungai Kandis, Selangor walaupun PH memenangi kerusi tersebut. Tetapi hakikatnya boleh dilihat bahawa lebih separuh pengundi di Sungai Kandis menolak PH dengan membuat pilihan untuk tidak keluar mengundi.

Sesungguhnya realiti yang terpapar sekarang menjadi cabaran baru kepada PAS amnya dan DMPM khususnya. Kemungkinan keadaan ekonomi yang lebih merudum dapat dijangka dengan perang ekonomi dan saling menaikkan tarif barangan dan perkhidmatan import dan eksport oleh kuasa-kuasa besar Amerika Syarikat dan China. Malah kerajaan baru PH tidak berhemah menjejaskan pelaburan terus China di Malaysia dan gagal berunding semula perjanjian yang dikatakan berat sebelah oleh kerajaan lama.

Usaha-usaha mendekati golongan muda FTV ini harus digiatkan oleh pihak Dewan Pemuda PAS dan Muslimat Muda, agar dapat menarik mereka menyokong agenda kebenaran dan amar makruf nahi mungkar yang diungguli oleh PAS.  

Dalam keadaan kemelut ekonomi yang melanda, rakyat tersentak dengan tindakan perbelanjaan mewah menaja semula perlumbaan kereta Formula-1 (F1) yang dikendali oleh anak Perdana Menteri ke-7, serta penganugerahan kontrak khidmat syarikat Petron kepada sebahagian kegunaan petrol kenderaan kerajaan bersaing dengan Petronas dan Shell di mana syarikat ini juga dikuasai oleh anak PM ke-7. Hal-hal ini tiada langsung tercatat dalam janji-janji Manifesto PH. Adakah tindakan Kronisme ini seolah-olah sama sahaja bagi PM ke-4 dulu yang dilihat ibarat hanya menukar baju?

Bagaimanakah Kerajaan PH boleh menjustifikasikan pengurangan bantuan sara hidup bagi nelayan kecil pantai dalam musim tengkujuh serta para penoreh upahan getah bukan milik tanah mereka sendiri yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang? Juga tindakan kerajaan menghapuskan bantuan BR1M kepada sebahagian rakyat yang layak? Adakah alasan penjimatan perbelanjaan kerajaan ini terpakai terhadap penajaan perlumbaan kereta Formula 1-F1?

Sesungguhnya kemelut ini memberikan kesempatan dan peluang untuk PAS terus memberikan pencerahan dan menyantuni semua segmen masyarakat yang terjejas dan menjadi mangsa keadaan dengan agenda bantuan kebajikan yang sangat sinonim dengan gerak kerja akar umbi PAS.

Kezaliman terhadap umat Islam   

Kekejaman dan kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam di kawasan-kawasan konflik dunia seperti di Myanmar, Palestin, Ughyur, Turkistan Timur, Syria dan Yaman amat memilukan. Bangsa-bangsa Bersatu dan blok negara Perjanjian NATO dengan persaingan Russia serta kuasa-kuasa besar dunia gagal dalam menangani isu ini dengan baik. Negara-negara Islam khususnya Negara-negara Arab di Timur Tengah tidak bersatu membela nasib mereka yang teraniaya dan tertindas.  

OIC dan negara-negara umat Islam lainnya juga tidak berupaya melakukan sesuatu yang konkrit bagi menyelesaikan konflik yang telah memangsakan berjuta umat Islam yang terperangkap gugur syahid dalam peperangan bersenjata akibat percaturan politik Yahudi Israel serta konconya. Sebahagian besar mereka menjadi pelarian di negara-negara jiran dan sekitar Benua Eropah.

Gejala perang saudara sesama umat Islam ini diadu domba oleh kuasa-kuasa besar dunia yang berkepentingan tanpa mengambil peduli nasib rakyat akar umbi yang menjadi mangsa. Mereka terus dianiaya dengan pelbagai bentuk keganasan dan pembunuhan yang tidak selayaknya dilakukan terhadap makhluk Allah yang bergelar insan kamil.

Sesetengahnya menjadi mangsa atas nama jihad Islam sesama saudara umat Islam disebabkan adu domba dan hasutan kuasa-kuasa yang berkepentingan atas alasan keselamatan sejagat. Apakah ada harapan lagi bagi mereka dapat kembali ke tanah tumpah darah dan kampung halaman mereka yang telah musnah bagai padang jarak padang terkukur?

Marilah kita bermunajat memohon pertolongan Allah S.W.T atas nasib yang menimpa mereka. Juga berdoa agar kemelut yang sama tidak menimpa kita di sini. Kita juga bertanggungjawab atas dasar persaudaraan Islam membantu memberikan keperluan material dan wang ringgit setakat kemampuan kita.

Selain itu kita juga harus mengambil cakna dan memberikan perhatian terhadap mangsa-mangsa bencana alam seperti gempa bumi dan ledakan gunung berapi serta ribun taufan dan banjir besar yang melanda. Marilah kita menghulurkan bantuan dan infaq sedekah jariah untuk membantu mereka.

Terdekat pihak PASRelief, insyaAllah akan pergi ke Lombok yang telah dilanda gempa bumi dahsyat bagi menghantar misi bantuan kemanusiaan. Hulurkan infaq dan sedekah jariah anda bagi bersama-sama kami membantu mereka. Dengan ini diisytiharkan pelancaran derma jihad untuk mangsa-mangsa gempa bumi di Lombok dan kawasan-kawasan lain yang sangat memerlukan ihsan sumbangan kita.

Sabda Rasulullah S.A.W;

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

 [رواه البخاري ومسلم]

“Tidak beriman seseorang kamu selagi kamu tidak mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.”

[HR Bukhari dan Muslim]

Hadirin dan hadirat yang dihormati, 

Istiqamah dalam ketaatan terhadap Allah

Dalam kesibukan kita melaksanakan gerak kerja terancang dengan merujuk kepada pelan tindakan DMPM, kita perlu juga berterusan istiqamah dengan amalan harian tuntutan ketaatan terhadap Allah S.W.T. Dalam kesempatan ini saya ingin mengajak Muslimat Mujahidah bersama-sama sentiasa taqarrub kepada Allah S.W.T dan dapat merealisasikan ciri-ciri Mukmin yang berjaya sebagaimana tercatat dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-11. Manifestasi Mukmin yang mendapat khusyuk dalam solatnya serta menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang tidak bermanfaat.

Kita hendaklah pertingkatkan kualiti solat, rajin membaca dan mentadabbur ayat-ayat al-Quran, mendisiplinkan diri dengan bertahajjud dan bermunajat, sebagai Muslimat ‘AKIFI agar dipenuhi dengan jadual wajib berterusan hingga menjadi kebiasaan. Betulkan amalan yang biasa dan biasakan amalan yang betul.

Perbetulkan kefahaman kita terhadap amalan taqarrub iaitu sentiasa dekat dengan Allah, bijak mengurus masa dan ikhlaskan diri semata-mata mencari keredhaan-Nya. Sesungguhnya amalan taqarrub memerlukan pengorbanan diri, masa, harta dan emosi, serta meletakkan sepenuh harapan terhadap Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Jauhkan diri kita daripada menghabiskan banyak masa dengan hiburan yang melalaikan. Juga menghabiskan masa leka dan lagha melayari internet dan media sosial. Peliharalah diri kita daripada fitnah zaman siber dalam membentuk sikap kita agar berjiwa merdeka dan tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar. Ingatlah amanat dari Saidina Umar al-Khattab R.A yang berkata;

“Aku takut terhadap dosa-dosa yang kita lakukan akan menyebabkan kita kalah menghadapi musuh.”

Pengorbanan harta benda juga perlu dijadikan amalan; berinfaq dalam istiqamah kita meneruskan perjuangan ini, agar mendidik kita mensyukuri nikmat pemberian-Nya dan mengelakkan diri kita daripada melakukan pembaziran yang tidak diredhai Allah.

Di samping itu usaha-usaha mengumpul dana hendaklah digiatkan bagi menampung belanja pengurusan organisasi kita serta persediaan untuk PRU-15 daripada sekarang. Muslimat Mujahidah dan solehah zaman modern ini perlu bijak menguruskan kewangan rumah tangganya dan bersedia menginfaqkan sedikit daripada rezeki kurniaan Allah S.W.T kepada kelancaran dan kelangsungan gerak kerja jemaah. Pengorbanan harta adalah satu pelaburan yang tidak sia-sia seperti firman Allah S.W.T;

وَمِنَ النَّاسِ مَنۡ يَّشۡرِىۡ نَفۡسَهُ ابۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِ اللّٰهِ وَاللّٰهُ رَءُوۡفٌ بِالۡعِبَادِ‏ ﴿2:207﴾

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hamba-Nya.”

[Q.Surah Al-Baqarah : 207]

Peliharalah integriti dan jati diri kita agar mudah-mudahan kita semua dapat memikul amanah yang besar ini. Tingkatkan iltizam agar kita mampu menghadapi pelbagai ujian dan fitnah tribulasi perjuangan ini. Selalu bermuhasabah memperbaiki diri agar kita tidak tersilau dari panahan kilauan jawatan dan kebendaan yang sedang dikecapi oleh mereka yang telah meninggalkan perjuangan ini. Renungkan firman Allah S.W.T;

وَمِنَ النَّاسِ مَنۡ يُّعۡجِبُكَ قَوۡلُهٗ فِى الۡحَيٰوةِ الدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ اللّٰهَ عَلٰى مَا فِىۡ قَلۡبِهٖ وَهُوَ اَلَدُّ الۡخِصَامِ‏ ﴿2:204﴾ وَاِذَا تَوَلّٰى سَعٰى فِى الۡاَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيۡهَا وَيُهۡلِكَ الۡحَـرۡثَ وَالنَّسۡلَ وَاللّٰهُ لَا يُحِبُّ الۡفَسَادَ‏ ﴿2:205﴾ وَاِذَا قِيۡلَ لَهُ اتَّقِ اللّٰهَ اَخَذَتۡهُ الۡعِزَّةُ بِالۡاِثۡمِ فَحَسۡبُهٗ جَهَنَّمُ وَلَبِئۡسَ الۡمِهَادُ‏ ﴿2:206﴾

“Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila dia berpaling (dari kamu) dia berjalan di bumi untuk membuat kerosakan padanya dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternakan dan Allah tidak menyukai kebinasaan (menggoncangkan keimanan orang Mukmin dan membuat pertelingkahan). Dan apabila dikatakan kepadanya: Bertaqwalah kepada Allah, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkan berbuat dosa. Maka cukuplah (balasan) Neraka Jahannam. Dan sesungguhnya Neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.”

[al-Baqarah: 204-206]

Sesungguhnya kita hendak mencapai kemenangan dalam erti kata sebenar isitiqamah sebagai anggota jemaah yang terikat dengan arahan dan peraturan Perlembagaan PAS, setia terhadap bai’ah dan wala’ kepada pimpinan dalam perkara makruf tanpa membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulamak. Semoga iltizam ini membuahkan pahala yang berlipat ganda dan meletakkan diri kita mewarisi syurga yang abadi.

Penutup

Akhirnya saya ingin menutup ucaptama ini dengan firman Allah S.W.T;

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوا ادۡخُلُوۡا فِى السِّلۡمِ کَآفَّةً وَلَا تَتَّبِعُوۡا خُطُوٰتِ الشَّيۡطٰنِ اِنَّهٗ لَـکُمۡ عَدُوٌّ مُّبِيۡنٌ‏ ﴿2:208﴾ فَاِنۡ زَلَـلۡتُمۡ مِّنۡ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡکُمُ الۡبَيِّنٰتُ فَاعۡلَمُوۡٓا اَنَّ اللّٰهَ عَزِيۡزٌ حَکِيۡمٌ‏ ﴿2:209﴾

“Wahai orang-orang yang beriman. Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan jangan kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu) sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

[al-Baqarah: 208-209]

Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan istighfar dan memohon keampunan dan belas kasihan Allah S.W.T.

Di kesempatan ini juga saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan terhadap segala kekurangan dan kelemahan diri daripada mandat yang ditaklifkan kepada saya sebagai Ketua Muslimat penggerak perjuangan suci.

وباالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selamat bermuktamar kepada semua.

Siiru ‘ala barakatillah.

USTAZAH HAJAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
14 September 2018 bersamaan 4 Muharram 1440 – HARAKAHDAILY 14/9/2018