Tindakan tepat tolak reman pemuda autisme

SAYA mengikuti rapat kes seorang pemuda yang mengalami autisme, Ahmad Ziqri Morsidi, 22 yang telah ditahan kerana didakwa mencabul kehormatan seorang wanita minggu lepas. Hari ini melalui satu surat saya kepada pihak Peguam Negara, saya berpandangan isu tersebut boleh ditangani dengan lebih baik sekiranya pihak polis dan juga mahkamah mempunyai prosedur tersendiri di dalam menangani isu-isu berkaitan autisme dan yang seumpama dengannya.

Advertisement

Menurut fakta kes, Ahmad Ziqri telah dibawa oleh ibunya, Hasnah Abdul Rahman dan beberapa orang adik beradiknya ke sebuah restoran di Jalan USJ 10/1B, Subang Jaya bagi meraikan hari lahirnya ke 22. Ia diikuti dengan insiden di mana Ahmad Ziqri didakwa telah menyentuh dada seorang wanita berusia 24 tahun yang kemudiannya membuat laporan polis bersama keluarganya.

Sekalipun telah diberikan penjelasan oleh ibu pemuda terbabit, laporan polis tetap dibuat dan Ahmad Ziqri telah ditahan selama satu malam di lokap sebelum dibawa oleh pihak polis bagi mendapatkan reman selama 4 hari bagi tujuan siasatan. Difahamkan bahawa Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah menolak permohonan berkenaan ekoran keadaan suspek yang mengalami autisme.

Saya rakamkan tahniah kepada pihak Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang telah membuat keputusan tepat berhubung isu ini. Ia menunjukkan bahawa pihak Mahkamah telah mendengar keterangan semua pihak dan membuat keputusan berasaskan kepada situasi dan keperluan sebenar.

Penahanan suspek berkenaan merupakan satu langkah yang tidak sewajarnya berlaku. Sekalipun pihak polis telah mengeluarkan kenyataan bahawa penahanan tersebut mengikut prosedur yang telah ditetapkan, namun persoalannya adakah prosedur yang sama terpakai ke atas golongan yang normal turut terpakai kepada individu yang mengalami autisme dan yang seumpama dengannya? Penahanan reman di dalam lokap sekalipun hanya mengambil masa yang tidak lama cukup memberikan kesan yang mendalam kepada golongan seperti ini.

Saya mendesak satu prosedur tersendiri bagi menangai kes-kes seperti ini wajib diwujudkan oleh pihak polis. Dalam isu ini, pihak polis sendiri saya percaya telah bertindak dalam ruang lingkup undang-undang yang sedia ada, namun tidak boleh dinafikan bahawa ia boleh diberikan penambah baikan. Secara khususnya di dalam kes Ahmad Ziqri ini, Peguam Negara tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggugurkan kes dan tidak meneruskan pendakwaan terhadap beliau kerana nyata sekali tahap pemikiran individu yang mengalami autisme tidak boleh diletakkan beban tanggungjawab sebagaimana golongan normal. Saya sekali lagi merakamkan tahniah kepada pihak Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas keputusan yang saya kira cukup tepat itu.

Masyarakat awam di Malaysia masih banyak lagi perlu diberikan kefahaman berhubung kehidupan golongan OKU. Pendidikan sejak awal perlu dipupuk di kalangan anak-anak agar mereka mampu berinteraksi dan memahami golongan yang turut mempunyai hak untuk hidup di dalam negara ini.

Saya mohon Peguam Negara, Tuan Thommy Thomas dapat memainkan peranan untuk mewujudkan standard operasi siasatan tersendiri oleh pihak polis dalam berdepan dengan isu-isu seperti ini seterusnya ditangani sebaik mungkin oleh pihak mahkamah. Pandangan ini telah saya nyatakan melalui surat saya kepada beliau pada hari ini 17 September 2018.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 18/9/2018