MPKK T’ganu wajar ambil Diploma ILHAM

INSTITUT Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) Negeri Terengganu mendapat anugerah negeri proaktif apabila pelajar-pelajar dari Terengganu adalah yang paling ramai menerima Diploma ILHAM pada hari ini (20 Oktober) 2018 iaitu 113 orang dalam Konvokesyen ILHAM kali ke 13 di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Advertisement

Ia mengatasi jumlah pelajar ILHAM Pusat dicampur dengan empat buah negeri lain.

Namun, bagi saya, ia sebenarnya jumlah yang masih terlalu kurang dari yang sepatutnya. Benar, kadang-kadang tugasan, urusan, pekerjaan dan banyak perkara lain dijadikan alasan untuk tidak mahu mengambil Diploma ILHAM ini dari kalangan ahli PAS sendiri.

Pepatah menyebut: ‘Nak seribu daya, tak nak seribu dalih’. Saya selaku salah seorang tenaga pengajar Diploma ILHAM kenal beberapa orang pelajar Diploma ILHAM ini. Ada yang sudah berumur 60-an, belajar separuh jalan, hampir sahaja putus-asa dari meneruskan pelajaran, tetapi hari ini menerima Diploma ILHAM. Ada yang mengadu tidak mampu untuk mengikuti silibus ILHAM walaupun minat mencari ilmu, akhirnya dapat juga menamatkan pengajian ini.

Terengganu sekarang diperintah oleh kerajaan PAS. Ramai yang telah dilantik menjadi AJK Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Ada yang sudah lama kenal PAS. Ada yang baru berjinak-jinak. Kefahaman Islam ada pelbagai aras, sama ada sudut aqidah, ibadat, hinggalah politik.

Saya rasa amat wajar jika AJK MPKK Terengganu mengambil Diploma ILHAM ini. Kerajaan negeri boleh jadikan pemegang Diploma ini diberi keutamaan untuk dilantik sebagai AJK MPKK. Beri peluang kepada AJK MPKK mendalami Islam dengan cara bersistem, ada silibus, kuiz dan peperiksaan. Ia akan memberi tasawwur (gambaran) Islam yang jelas kepada mereka yang berurusan dengan rakyat setiap hari yang menjadi jurucakap kepada kerajaan negeri.

Mungkin akan ada beberapa pengecualian dengan sebab-sebab tertentu, tetapi kalau seorang wanita berumur 60 tahun yang ada sakit boleh menerima Diploma ILHAM hari ini, kenapa tidak AJK MPKK yang masih sihat dan ‘muda’? – HARAKAHDAILY 21/10/2018

Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) adalah sebuah institusi latihan di bawah PAS, diasaskan oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat yang menawarkan pengajian Islam peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan. ILHAM diurus tadbir oleh Pengarah, Dr Asiah Ali.