Solidariti demi keutuhan negara dan kontrak sosial

RIUH geger pemimpin politik kerajaan dan para Menteri mengulas himpunan ummah yang bakal melakar sejarah negara semenjak enam dekad kemerdekaan. Ironiknya pak Menteri separa dungu ini memberikan pelbagai cadangan supaya umat Islam tidak menghadirkan diri ke program himpunan yang dirancang, walhal mereka politikus jalanan yang mencipta nama melalui siri-siri bantahan awam sebelum ini.

Advertisement

Himpunan kesyukuran terhadap penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadual 8 Disember ini akan tetap diteruskan, walaupun tidak disenangi dan dicemburui oleh sesetengah pihak. Bahkan ada kelompok agamawan yang berusaha melarang himpunan ini dengan alasan kerajaan sudah tidak lagi meratifikasi ICERD dan mengelakkan ketegangan kaum berikutan isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya minggu lepas. Tentera cyber upahan rejim cuba melontarkan pelbagai saraf di alam maya supaya himpunan anti ICERD menemui kegagalan.

Bagi mereka yang berusaha menolak dan tidak bersetuju dengan himpunan ini mungkin ada alasannya tersendiri. Tetapi bagi rakyat Malaysia serta umat Islam keseluruhannya, himpunan ini memberi erti dan maknanya yang tersendiri.

Ia menandakan kesepaduan dan kesatuan umat Islam dalam mendepani isu-isu yang boleh menggugat keharmonian agama dan kaum di negara ini. Dalam erti kata lain, umat Islam tidak rela Negara Malaysia berantakan akibat usaha mendobrak kontrak sosial yang digagaskan oleh para leluhur tanah watan ini atau spesifikasi keadilan antara kaum ditentukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Umat Islam juga tidak redha jika ada pihak mahu menjejas Perlembagaan Malaysia yang sudah sedia terlaksana dan membentuk keutuhan perpaduan.

Justeru itu, para politikus PH dan penyokongnya, usahlah merasa bimbang dengan himpunan ini, malah mereka sepatutnya merasa bangga kerana umat Islam semakin celik dan sedar untuk mempertahankan negara dan agama Islam. Pemimpin negara ini perlu disedarkan bahawa rakyat merasa tidak nyaman dengan mulut celupar pemimpin kerajaan dan tindakan bodoh dalam banyak kejadian termasuk isu yang menyinggung nurani umat Islam.

PAS bersama NGO dan ribuan rakyat yang lain telah ratusan kali menyertai himpunan di negara ini. Sepanjang penglibatan PAS dalam siri himpunan, semuanya berlangsung dengan aman, melainkan ada pihak yang dengki dengan melakukan pelbagai aksi provokasi melampau. PAS juga yang menghidupkan suasana demokrasi menjadi subur dan sihat sehingga pakatan pembangkang dahulu telah menjadi kerajaan sekarang.

Bukankah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga mencanangkan kerajaan sekarang bersikap bebas dan terbuka. Rakyat bebas bersuara, berhimpun dan menyatakan sikap mereka. Rakyat akan berhimpun pada 8 Disember 2018, justeru kerajaan wajar menerimanya dengan hati yang terbuka. Buktikan kebebasan dan keterbukaan kerajaan dalam menerima pandangan rakyat terbanyak di negara ini.

Himpunan Kesyukuran 8 Disember 2018 ini sebagai mengingatkan kerajaan agar bertindak mengikut garis Perlembagaan, menghormati Hak Istimewa orang Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan serta jangan terikut-ikut dengan golongan yang mahu mencarik kontrak sosial ini. Dalam soal agama dan hak bangsa, rakyat tidak akan bermain politik dengan sanggup mengangkat atau membuang sesiapa sahaja yang memperjudikannya.

Soal Malaysia antara sebahagian kecil negara yang belum meratifikasi ICERD bukan bermakna kita lemah atau degil, tetapi ia menunjukkan ketegasan Malaysia dalam soal prinsip. Kedaulatan negara bukan sesuatu yang boleh dijual beli, atau ditukar ganti dengan harga yang murah.

Kepada dunia, rakyat Malaysia ingin menunjukkan solidariti terhadap keamanan, kesepaduan dan keharmonian. Jika asas ini cuba dinodai, rakyat Malaysia sanggup berkorban demi agama dan negara tercinta. Salute buat rakyat yang sanggup bersusah payah berjuang demi kebangkitan agama dan negara. Tahniah kerana menjadi warga yang prihatin dan sayangkan pertiwi sebagaimana generasi merdeka dahulu yang berkorban apa sahaja demi melihat sebuah Negara Malaysia yang merdeka. Ia bakal dikenang sebagai himpunan patriotik rakyat yang terunggul dan terbesar dalam sejarah tanah leluhur ini.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI) – HARAKAHDAILY 6/12/2018