Taman Negeri Kenyir kini diperluas 30,000 hektar

PADA 22 November 2018, Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan penambahan hutan seluas 19,614 hektar untuk diwartakan sebagai Taman Negeri Kenyir.

Advertisement

Langkah ini menjadikan keluasan kawasan asal Taman Negeri Kenyir bertambah lebih dua kali ganda (10,386 diwartakan pada Mei 2018 dan dikenali sebagai “Taman Negeri Lawit Cenana”).

Ini seterusnya meluaskan jaringan kawasan darat terlindung di Terengganu. Taman Negeri Kenyir yang terletak di sekitar kawasan tadahan air Kenyir kini berkeluasan 30,000 hektar.

Langkah Kerajaan Negeri Terengganu untuk melindungi lebih banyak hutan akan membantu menurunkan pengeluaran karbon selaras dengan Paris Agreement. Kerajaan negeri Terengganu bersemangat untuk mengambil langkah-langkah untuk melawan perubahan iklim.

Kawasan hutan merupakan ekosistem yang memberi faedah kepada rakyat Terengganu seperti air minuman yang bersih, kawalan hakisan, air bersih tanpa sedimen untuk menjana hidroelektrik dan kelangsungan sumber ikan. Salah satu peranan penting hutan di Negeri Pantai Timur ini adalah untuk mengurangkan kesan buruk kepada banjir.

Penambahan kawasan hutan kepada Taman Negeri Kenyir ini meliputi sebahagian kawasan Hutan Simpan Tembat di mana terletaknya Rangkaian Utama 7 (Primary Linkage 7 – PL7) daripada Central Forest Spine (CFS). Rangkaian Utama 7 (PL7) ialah nama rasmi bagi Koridor Hidupan Liar Kenyir (Kenyir Wildlife Corridor). Terdapat sebanyak 17 Rangkaian Utama sepanjang CFS di Semenanjung Malaysia. PL7 menjadi sambungan untuk lanskap hutan bersebelahan Taman Negara.

Langkah ini menjadikan Terengganu sebagai negeri pertama di Malaysia yang mewartakan Rangkaian Utama sebagai kawasan perlindungan.

Kewujudan Taman Negeri Kenyir akan menggalakkan pergerakan haiwan dan sebaran tumbuhan. Kewujudan spesis tumbuhan ikonik seperti Rafflesia, sekurang-kurangnya 43 spesis mamalia, dan sekitar 290 spesis burung termasuklah sembilan spesis burung enggang, menjanjikan tarikan utama kepada para pelancong yang meminati alam sekitar dan aktiviti luar. Ini juga akan menarik perhatian penyelidik yang ingin melakukan kajian saintifik.

Fasa seterusnya dalam pengurusan Taman Negeri Kenyir ini melibatkan pembangunan skim bio-kewangan (bio-financing) untuk menjana pendapatan daripada penjagaan hutan yang sihat secara lestari.

Pendapatan juga akan diuruskan melalui Tabung Amanah Taman Negeri untuk memastikan sumber jangka panjang untuk kerja-kerja penguatkuasaan, eko-pelancongan, dan aktiviti penduduk komuniti di sekitar taman tersebut.

Pemeliharaan alam sekitar adalah sangat penting untuk melawan perubahan iklim. Pada masa yang sama, ini akan menjadikan Terengganu sebagai destinasi eko-pelancongan yang unggul.

“Terengganu Maju Berkat Sejahtera”
“Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera”

DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
31 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 31/1/2019