MB Kelantan ucap terima kasih kepada PM

KERAJAAN Negeri Kelantan bersyukur ke hadrat Allah SWT serta merakamkan jutaan terima kasih kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamed Perdana Menteri Malaysia yang telah bersetuju meluluskan lima projek utama pembangunan Negeri Kelantan yang dianggarkan memakan belanja RM1.4 bilion.

Advertisement

Kerajaan Negeri Kelantan juga turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan di atas kesudian mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Kelantan pada 7 Mac 2019 serta turut mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan kali pertama. Beliau turut mengumumkan lima projek yang diluluskan iaitu:

I. Pembinaan LPT3 sejauh 150 KM bermula dari Gemuroh (Terengganu) ke Tumpat sepanjang 150 KM.

II. Menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

III. Membina jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli.

IV. Pembinaan jambatan Palekbang di Kota Bharu.

V. Pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (SCR) sepanjang 123 kilometer.

Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan sokongan penuh di atas keputusan YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa tidak akan ada lagi lantikan politik dalam MTNg dan buat pertama kali struktur majlis ini dirombak dengan melibatkan pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan sahaja.

Kerajaan negeri melihat bahawa perlantikan YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selaku pengerusi MTNg Kelantan adalah sebagai pemilihan yang tepat dan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama terbaik kepada Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan semua projek-projek pembangunan negeri dan negara.

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan
2 Rejab 1440H / 9 Mac 2019M – HARAKAHDAILY 9/3/2019