PRK Rantau: Pastikan PH kalah lagi

TAUFAN membadai nurani rakyat negara ini apabila melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan PH melunaskan janji mereka untuk memunculkan satu pentadbiran baru yang memberikan suasana pentadbiran yang baik dan mesra rakyat. Jauh daripada merealisasi janji-janji manifesto, kerajaan pasca 9 Mei ini juga gagal merapatkan jurang antara kaum dan agama apabila tindakan demi tindakan kerajaan ini tidak mesra bumiputera dan umat Islam.

Advertisement

Menjelang PRK Rantau, kelihatan sangat hodoh pertembungan antara PM dan istana Johor, seolah istana kurang dihormati peranannya sebagai kuasa semak dan imbang. Perletakan jawatan Menteri Besar Johor juga adalah lambang kegagalan PH memerintah serta kekurangan pemimpin yang kompeten dalam pemuafakatan politik yang didominasi oleh DAP itu. Setiap kali menjelang PRK, PAS antara yang teruk diserang walaupun tidak meletakkan calon untuk bertanding. Ironinya, kerajaan PH dan menteri separa dungu cukup bimbang akan penyatuan dan pemuafakatan parti-parti pembangkang di negara ini.

Cuma kali ini isu 90 juta tak kelihatan di permukaan air kempen PH, begitu juga RM1.4 juta namun isu RM10 juta duit rumah calon BN mengambil tempat untuk disensasikan oleh avatar dan jentera kempen PH. Tok Mat, sebelum menjadi ahli politik adalah tokoh usahawan yang berjaya, pelik dan kontradiknya, penyokong PH seperti bungkam dengan isu aset RM10 juta Anwar, walhal mantan tokoh BN ini lama mendekam dipenjara. Jentera kempen PH kelihatan sangat terdesak dengan kempen saraf agar kaum India tidak mengundi Tok Mat, pelbagai kain pemidang disediakan untuk memicu api kebencian itu.

PAS melalui arahan Setiausaha Agungnya telah mengerahkan ahli-ahlinya untuk membantu pasukan kempen Tok Mat. Kempen ceramah, sembang santai, ziarah rumah ke rumah, solat hajat, majlis bacaan Yaasin, pelbagai acara pengenalan calon telah berjalan dengan baik dan mendapat sambutan pengundi. Kempen alam siber juga kelihatan meratah keangkuhan kerajaan PH. Penulis cuba merayau dan “menyelam” di pelbagai medsos dan melihat tokoh-tokoh PH menjadi bahan amukan rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam tempoh 10 bulan ini. Undian atas talian juga telah menunjukkan Tok Mat mendahului Steram, begitu juga unjuran peramal kempen pilihan raya daripada pelbagai jalur latar belakang.

Kempen juga bertambah meriah dengan kehadiran Dato’ Seri Najib dengan motto “malu apa bossku”, terus berdamping dengan rakyat akar umbi pelbagai kaum. Najib menjadi fenomena di medsos, menjawab pelbagai isu dengan fakta dan hujjah ekonomi. Lihat sahaja kejayaan beliau membenam hujah-hujah pak menteri dalam isu hutang negara, Tabung Haji, cincin Rosmah, pemberdayaan Felda, FDI, penjualan aset negara dan pelbagai isu sehingga netizen riuh bersorak sorai di pages beliau yang kini mempunyai lebih 1.3 juta pengikut.

Kehadiran Tuan Guru Presiden PAS pada malam 11 April, seolah menghantar isyarat jelas kepada PH bahawa pemuafakatan strategik parti-parti pembangkang akan memberikan impak besar, bukan sahaja dalam PRK Rantau tetapi kepada PRU15. Gelombang lautan manusia pelbagai kaum sebagai tanda sokongan kepada Tok Mat menyebabkan kesesakan jalan raya yang luar biasa. Netizen menviralkan himpunan ceramah tersebut dan kali ini banyak pengkaji politik mula meramalkan PH akan kalah untuk kali ketiga dalam PRK selepas Cameron Highlands dan Semenyih. – HARAKAHDAILY 13/4/2019