Jangan gopoh hapus Akta Hasutan

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) minta kerajaan untuk tidak gopoh untuk menghapuskan Akta Hasutan hanya kerana satu atau dua kes yang berlaku mutakhir ini. Kerajaan mesti mengambil kira semua faktor dan jangkaan masa hadapan sekiranya akta ini dihapuskan demi menjaga kestabilan negara.

Advertisement

Negara masih memerlukan satu akta untuk mencegah (deterrence) perilaku yang boleh menggugat keselamatan negara. Oleh itu, langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan harus diteliti secara mendalam. Isu yang lebih kritikal ialah penyalahgunaan akta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini masa yang terbaik untuk kerajaan baharu membuktikan tidak akan melakukan penyalahgunaan akta. Sebaliknya, kerajaan mesti menjunjung kedaulatan undang-undang dan memberikan hak kepada setiap rakyat untuk dilayan dengan adil. Berikan kebebasan sepenuhnya kepada badan kehakiman di negara ini.

Perbuatan menghasut apatah lagi menanam kebencian samada melalui tulisan atau ucapan boleh mewujudkan ketegangan antara kaum serta mengancam kestabilan negara. Sekiranya ia dihapuskan, maka kerajaan akan terlewat untuk mengawalnya jika berlaku kekacauan di negara ini.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Kubang Kerian – HARAKAHDAILY 12/7/2019