Adakah debat hasil normalisasi LGBT?

TINDAKAN pihak penganjur Debat Piala Tun Razak 2019 yang menyentuh isu-isu dasar agama Islam sebagai bahan pendebatan merupakan sesuatu perkara yang mendukacita, bahkan mengancam kehormatan Islam sebagai agama Persekutuan.

Advertisement

Lebih malang lagi dalam kenyataan permohonan maaf yang dikemukakan, pihak bertanggungjawab tidak menunjukkan kekesalan terhadap tindakan yang telah diambil sebaliknya menekankan tajuk tersebut sebagai “are safe for debaters of this group of age to debate about”.

Walau bagaimanapun saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan yang segera menafikan tema program tersebut mendapat restu kementerian bahkan ianya menyalahi aspirasi pendidikan negara.

Usul yang berkaitan dengan penulisan semula Al-Quran (republish a new version of Quran) selain berkenaan usul homoseksual bukan suatu dosa dalam Islam adalah usul yang berkaitan dengan akidah seseorang Muslim dan tidak boleh dijadikan bahan perbincangan dalam acara debat seperti yang dilaksanakan dalam Piala Tun Razak 2019.

Apa sebenarnya dapatan yang diharapkan oleh pihak penganjur dengan mengemukakan tajuk yang sedemikian rupa sedangkan pelbagai lagi dasar dan polisi kerajaan boleh dijadikan bahan debat?

Malah, pendekatan menggunakan tajuk yang dikemukakan itu juga jelas mempunyai unsur dan pengaruh Islam liberal walaupun ia cuba dinafikan pihak penganjur.

Inilah bahana terlalu berlembut dengan pelbagai pihak yang cuba membawa agenda normalisasi LGBT dan liberalisasi agama. Sehinggakan perkara yang “truistik” dijadikan bahan perbahasan yang dibimbangi akan menyerap ke dalam pemikiran anak muda.

Justeru, pihak Kementerian Pendidikan digesa mengambil tindakan yang tegas kepada penganjur dan pihak yang berkaitan bagi mengelakkan perkara yang sama daripada berulang lagi pada masa akan datang.

Pihak kerajaan juga wajib berhati-hati daripada diambil kesempatan oleh pelbagai pihak yang sedang mencelah di sebalik keributan pemerintah PH yang leka dengan pelbagai isu politik dalaman.mereka yang parah. – HARAKAHDAILY 17/10/2019