Royalti: Apakah ianya satu kebetulan?

AGAK galak PAN, mencuit perasaan rakyat Terengganu dengan gurauan tidak cerdik, berkenaan hak mengagihkan royalti yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, supaya ditukar tangan. Cadang Pengerusi PAN Terengganu, Senator Dato Raja Kamarul Bahrain Shah agar agihan royalti ini diberikan kepada agensi Pusat. Katanya desakan itu kerana agihan wang itu tidak lakukan secara adil, tanpa beliau mengemukakan bukti kukuh, melainkan hanya berkata ‘terima banyak rungutan’.

Ia satu tuduhan sangat serius dan amat malang, apabila tanpa memberikan apa-apa bukti atau dokumen, atau siasatan dari pihak berwajib, hanya cakap kosong, maka satu tindakan drastik mahu diambil bagi menghukum Kerajaan Negeri Terengganu, atas dasar ‘rungutan’. Kaedah apa yang PAN mahu pakai ini? Adakah Raja Bahrain masih khayal dan kepeningan kerana berada di bawah pengaruh nasi Beriani Kambing yang beliau buat untuk bayar kafarah setelah mengkhianati baiah dengan PAS dulu? Harapnya tidak.

YAB MB Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, segera memberikan respon bahawa ianya tidak ada keperluan dan akaun Kerajaan Negeri amat telus untuk disiasat. Kata beliau, biarlah kerajaan melalui agensinya seperti Jabatan Audit Negara, SPRM menyiasat kerana Kerajaan Negeri bersikap terbuka dalam isu ini, jika benar Kerajaan Negeri berlaku curang dalam menguruskan wang royalti. Tetapi merampas hak agihan dari Kerajaan Negeri kerana rungutan, ialah suatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Bagi saya, Raja Bahrain hanya cuba mencari ruang bagi menonjolkan dirinya terutama untuk dilihat DAP. Saya tahu, jika beliau bercakap mengenai sesuatu isu, sewaktu dalam PAS dahulu, wartawan boleh menjadi bosan. Ia kerana beliau bercakap panjang lebar dengan lambakan bukti-bukti atas meja beliau sewaktu mengadakan sidang akhbar sebagai bukti sokongan pendedahan beliau. Tanyalah wartawan-wartawan di Terengganu kebenaran ini. Maka jika kali ini beliau hanya bercakap tanpa bukti, dia hanya memalukan dirinya sahaja.

Mari saya tunjukkan beberapa persamaan atau kebetulan mengenai isu apa yang mungkin kita katakan sebagai rampasan hak rakyat Terengganu dalam kemelut royalti ini. Ini bagi kita membuat satu pemerhatian. Ia untuk kita fikirkan bersama, apakah bezanya PAN dengan Umno dahulu yang mereka keji dan hina. Betapa sekarang, PAN mengambil alih kejahatan Umno dahulu dan lebih teruk, kejahatan ini, dipakaikan mereka menggunakan nama Islam.

Cadangan penarikan royalti petroleum Terengganu, dibuat pada Perhimpunan Agung Umno tahun 2000 oleh perwakilan Umno Terengganu berpangkat Dato’. Ia kemudiaannya dilaksanakan, yang mana wang royalti itu kemudiannya ditukar nama kepada Wang Ehsan. Manakala cadangan yang sama oleh PAN pula, dibuat pada Konvensyen Tahunan PAN 2019 juga oleh seorang yang berpangkat Dato’. Kita berharap tidak berlaku perlaksanaannya seperti tahun 2000.

Tun Dr Mahathir ialah Perdana Menteri yang berkuasa ketika tahun 2000. Sehinggakan beliau dilaporkan berkata ‘Umno Terengganu so stupid’ kerana mencadangkan penarikan royalti ini. Kini, Tun Mahathir juga sekali lagi menjadi PM Malaysia, sama seperti 19 tahun lalu. Kita berharap agar Tun juga berkata kepada PAN, ‘PAN Terengganu so stupid’ kerana mahu merampas royalti, hak rakyat Terengganu dan mereka memilih Kerajaan Negeri ini secara sah bagi menguruskan harta rakyat Terengganu.

Kebetulan yang sama juga ialah Umno, tahun 2000, baru sahaja lepas kalah teruk pada PRU 10 kepada PAS. Tetapi masih bernasib baik, tinggal empat kerusi lagi dan mereka menguasai Kerajaan Pusat. Manakala PAN juga baru sahaja kalah teruk, dan sangat teruk di Terengganu dengan tiada langsung kerusi yang mereka perolehi, tetapi juga menguasai Kerajaan Pusat, walaupun hanya melukut di bawah kelangkang DAP.

Alasan yang hampir sama digunakan dahulu bagi menyekat royalti dikendalikan oleh Kerajaan Negeri pimpinan PAS, iaitu kononnya akan berlaku penyelewengan oleh PAS yang akhirnya, penyelewengan berlaku kepada mereka yang memegang duit royalti itu dengan agihan berpilih-pilih bagi menarik undi, memberikan kepada orang mereka sahaja, tender projek pagar sekolah begitu banyak dikeluarkan kerana sekolah ialah hak pusat. Dan bagi negeri, tiada apa yang diperolehi. Saya percaya perkara yang sama akan dilakukan PH.

Dengan PAN yang masih terkial-kial mencari nama bagi mengisi jawatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang bakal ditubuhkan Januari ini, malah di beberapa negeri yang dikuasai oleh PH, MPKK lantikan mereka masih belum dapat berfungsi dengan baik. Berbanding dengan Terengganu, negeri yang baharu menang, paling awal menyiapkan MPKK dan terus berfungsi. Maka apakah harapan rakyat bahawa MPKKP ciptaan PH ini akan diuruskan dengan baik.

Berapa orang ahli PAN kah di Terengganu? Di Konvensyen Pusat mereka pun hanya 90 orang mengundi. Saya terfikir, adakah pemilihan di cawangan dan bahagian PAN? Yang mungkin ramai ahli ialah PKR. Tapi tak mungkin ianya akan diserahkan majoritinya kepada PKR. Bunga-bunga persengketaan telah dapat dilihat sekarang, apa lagi bila duit turun. Jelas, kehadiran MPKKP ini adalah jelmaan apa yang BN lakukan dahulu, JKKP melalui JPP yang ditentang hebat oleh PAN yang ketika itu masih bersama PAS. Bahkan, ianya dikutuk oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz atas gangguan Pusat terhadap Negeri. Pastinya PAN akan buat-buat lupa episod kemarahan TGNA ini.

Sebelum saya lupa, suka saya ingatkan satu lagi hal, iaitu pencadang supaya royalti petroleum Terengganu ditarik balik itu, meninggal dalam satu kemalangan maut di Marang. Sememang namanya dikenang orang, bukan kerana kita berdendam, tetapi menjadi lumrah hidup ini, apabila ada peristiwa besar berlaku, sejarah akan mencatatkan watak-watak di sebalik cerita itu. Dan saya tidaklah sampai mendoakan Pengerusi PAN Terengganu pun kebetulannya nanti akan berakhir begitu, sekadar menyebut sahaja, sebagai lipatan sejarah.

Ataupun adakah PAN, dengan arahan DAP, cuba menongkah arahan Tun tahun lalu supaya royalti diserahkan terus kepada Kerajaan Negeri Terengganu? Mungkinkah ini strategi DAP dalam perancangan menjatuhkan Tun, menggunakan PAN, khadam setianya? Ketika rakyat tertumpu ke PRK Tanjung Piai, DAP pula menuju ke arah lain, menikam Tun dari belakang bersama PAN?

MOHD NASIR ABDULLAH
12 November 2019 – HARAKAHDAILY 12/11/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement