Eman Manan, Ayah Chik dan Atas Tol

JIKA disebut nama Abdul Manan bin Embong, mungkin bukan sahaja orang luar, malahan orang di Terengganu juga segelintirnya tidak tahu siapa dia. Lebih-lebih lagi golongan muda. Tetapi bila disebut Eman Manan, rasanya hampir mustahil beliau tidak dikenali. Satu nama yang sangat kuat di dalam industri filem negara. Dia mencetuskan gelombang kecil artis dari Terengganu yang amat jarang ada ketika itu.

Advertisement

Katanya nama itu diberikan oleh Datuk Rahim Razali. Menggabungkan Embong, Darul Iman dan Manan. Di Kampung Atas Tol, beliau dikenali sebagai Manan oleh rakan-rakan lama beliau. Sememangnya beliau pandai bersilat, bukan dibuat-buat untuk lakonan. Amat diingati akan gerakan lincah beliau dalam penampilan pertama filemnya, Matinya Seorang Patriot pada tahun 1984. Orang Atas Tol dikatakan berpusu-pusu memenuhi pawagam. Berulang kali menonton, tanpa jemu.

Di belakang beliau, majoriti saudara maranya adalah penyokong kuat Umno. Saudara dekatnya Allahyarham Mazlan Awang adalah bekas ADUN Bukit Payong mewakili BN. Rata-rata penduduk sekitar itu adalah Umno. PAS kurang kuat di situ. Tetapi agak lucu kerana adiknya, Ramli yang mengusahakan lembu sado itu adalah penyokong tegar PAS semenjak dahulu.

Ketika saya mengikuti pasukan kempen YB Ustaz Mohd Nor Hamzah bagi PRU13 pada 2013, ada penduduk Atas Tol yang tidak mahu menyambut sapaan atau kedatangan calon PAS. Kami berjumpa dengan seorang bekas guru. Dari kejauhan, YB sudah memaklumkan kepada saya, guru ini adalah penyokong tegar Umno dan minta saya perhatikan tingkah lakunya.

Benar, dia cuba melarikan diri setelah melihat kumpulan kami menghampiri tempatnya. Tetapi tidak berjaya kerana dia terlambat. Dan akhirnya terpaksa dia bersalam dengan Ustaz Mohd Nor secara tergesa-gesa dan kemudiannya pergi. Tetapi bukan semua kawasan dikuasai Umno. Banyak juga PAS Cawangan yang aktif seperti di Kampung Sungai, Kampung Bawah.

Apabila Eman balik ke kampung, beliau akan memastikan keadaan kampung selamat dari gejala-gelaja yang tidak bermoral. Ramai rakan-rakannya menyokong usaha itu. Menunjukkan beliau disegani. Setelah BN kalah di Terengganu, beliau dipilih menjadi AJK Umno Marang. Jika tidak salah saya, di bawah Dato’ Abdul Rahman Bakar.

Dalam satu program bual bicara Eman bersama RTM, beliau telah berikrar mahu merampas kembali Terengganu dari tangan PAS. Dengan penuh bersemangat, sehinggakan pengacara turut terasa semangatnya. Rupanya benar, beliau tidak berlakon, Dato’ Man Bakar kemudiannya berjaya mengalahkan buat kali kedua Presiden PAS pada tahun 2004 di Marang. Terengganu jatuh kepada BN 28-4.

Selepas itu, saya tidak melihat peranan beliau dalam Umno. Mungkin saya terlepas pandang, tetapi nampaknya, kehidupan Eman lebih tertumpu kepada bidang seni. Jadi beliau sering berada di Kuala Lumpur. Sehinggalah PAS kembali memerintah, beliau tidak dikesan dalam radar politik bukan sahaja di Terengganu, malah di Marang juga.

Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pula, mempunyai keluarga yang ramai sebelah ayahnya di Kampung Atas Tol. Saya bertanyakan seorang saudara Eman Manan, adakah bertalian juga darah mereka dengan Presiden PAS. Beliau menjawab ya, tetapi jauh. Dengan keluasan pertalian keluarga inilah yang memberikan kelebihan kepada Presiden PAS memenangi Parlimen Marang.

Dalam keputusan PRU di Marang, hampir semuanya menunjukkan jumlah undi Parlimen melebihi jumlah yang diperolehi DUN. Contohnya jika YB Ustaz Mohd Nor menang majoriti 600 bagi undi DUN, Presiden PAS mungkin menang 1,000 majoriti khusus di Bukit Payong bagi undi untuk Parlimen. Bermakna Presiden PAS mendapat undi lebih dari kalangan Umno atau atas pagar. Bukan di Bukit Payong sahaja, malah sama kejadian di semua DUN di Marang.

Ini jelas menunjukkan rasa hormat kepada Presiden PAS adalah sangat tinggi dalam kalangan rakyat, walaupun tidak menyertai parti beliau. Ianya bukan mudah membina rasa hormat itu. Ia bukan datang dari ‘glamour’ tetapi dari istiqamah beliau dalam memperjuangkan agama Islam semenjak beliau pulang ke tanah air sehingga kini. Ia belum dapat ditandingi kerana beliau diakui alim dalam cabang agama, terutama politik yang sangat penting oleh cendekiawan dunia. Bahkan bangsa Arab juga meminta nasihatnya dalam politik.

Apabila mendapat peluang, ramai yang akan cuba mencium tangan beliau, tanda hormat kepada ilmu beliau, bukan kepada dirinya. Eman Manan menunjukkan sikap menghormati yang sama. DS Razif juga sentiasa memeluk beliau ketika bertemu. Ketua Pemuda Umno, Johari Abu Bakar, pada waktu program bersama nelayan di Marang beberapa tahun lalu, turut tidak melepaskan peluang mencium tangan beliau. Foto-foto yang tersebar memberikan gambaran, kita boleh hidup aman damai dengan menghormati antara satu sama lain.

Saya secara peribadi melihat kedatangan Presiden PAS ke kandang lembu sado keluarga Eman Manan, yang juga disambut beliau sendiri dan diketahui kecenderungan politik beliau, hanya untuk memberitahu semua Melayu-Islam agar bersatulah di bawah agama Islam. Eman boleh sahaja tidak hadir sebagai protes. Presiden PAS boleh juga memilih kandang lain. Tetapi ia tidak berlaku. Hanya dengan penyatuan di bawah Islam yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sebenarnya. Kita berpegang kepada tali Allah.

Umur mereka berdua berbeza hanya 11 tahun. Kedua-duanya pernah menggegarkan dunia masing-masing pada awal 80-an. Pernah bermusuh atas dasar ideologi yang berbeza, mempunyai pertalian saudara, minat dalam mengusahakan ternakan. Dalam perbezaan itu, kini mereka bersatu di bawah Muafakat Nasional. Manakala persamaan mereka pula menguatkan lagi persaudaraan dari akar yang sama.

Rakyat Terengganu perlu melihat akan kesungguhan pimpinan Umno dan PAS yang mahu menjernihkan suasana. Walaupun Eman bukan ikon kepimpinan Umno, namun beliau ada namanya sendiri yang boleh memberikan pengaruh kepada tindakan ataupun sokongan orang ramai. Ini adalah untuk kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Jangan dihiraukan kepada beberapa kerat orang Umno yang berkelakuan seperti PH yang bencikan perpaduan Melayu-Islam itu.

Di Kampung Atas Tol ini juga terdapat sebuah warung nasi dagang yang terkenal di tepi perkuburan. Dan di sini juga ketika PRU14, berlaku perebutan mahu menjadi calon PH yang salah seorangnya bekas orang kuat PAS yang kemudian bertukar jersi kepada PAN, dengan calon dari BERSATU. Yang mana akhirnya PH kehilangan deposit. Berebut kuasa semenjak dari dahulu lagi. PAS dan Umno, jauhilah perangai tidak sedar diri PH ini. Kita kekalkan muafakat kita selama-lamanya demi Islam insya-Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH
2 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 2/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.