Peta jajaran Muafakat Nasional menuju PRU15

KEMENANGAN calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis melengkap peta jajaran Muafakat Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Bermula dengan agenda penyatuan ummah melibatkan dua parti utama kaum Melayu-Islam, Umno dan PAS, telah mendorong pengundi di PRK Cameron Highland memenangkan calon BN.

Seterusnya Muafakat Nasional berusaha untuk menarik kaum-kaum lain khususnya MCA dan MIC, untuk membina semula perpaduan kaum yang telah runtuh akibat kewujudan pihak ultra rasis dalam PH.

Agenda untuk mengembalikan semula perpaduan kaum telah disambut baik oleh pimpinan kaum Cina dan India, sehingga mendorong pengundi Tanjung Piai memberi kemenangan besar kepada calon BN.

Bagi melengkapkan semangat bermuafakat, Muafakat Nasional berhasrat untuk memupuk semula semangat integrasi nasional, melibatkan rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sememangnya diakui semangat integrasi nasional kebelakangan ini telah cuba digugat oleh pihak musuh melalui agenda pecah dan perintah, yang tidak senang dengan keutuhan Malaysia.

Meskipun usaha mengembalikan semangat integrasi nasional ini tidaklah mudah, rakyat Sabah dan Sarawak yang cintakan Malaysia membuktikan mereka tidak mudah termakan dengan agenda pecah dan perintah pihak musuh.

Kemenangan calon BN dalam PRK Kimanis membuktikan bahawa semangat integrasi nasional ini masih utuh, justeru memberi peringatan kepada pihak-pihak tertentu bahawa rakyat Sabah dan Sarawak tetap cintakan negara yang bernama Malaysia.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 19/1/2020

Advertisement