Virus Corona: Seruan solat hajat seluruh negara

MERUJUK kepada kenyataan akhbar dari Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 25 Januari 2020, menyatakan kes Novel Coronavirus (2019-nCoV) telah dikesan sebanyak empat kes di Malaysia. Khabar ini sangat membimbangkan kerana penyakit ini sangat pantas merebak seperti yang dilaporkan di media negara China.

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengharapkan pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen dan Jabatan Kesihatan dapat melakukan kawalan ketat di semua pintu masuk antarabangsa, tambahan pula sekarang adalah musim cuti Tahun Baharu Cina. Sebaiknya kerajaan melakukan langkah untuk menghalang kemasukan pelancong dari Negara China. Rasulullah S.A.W Ada mengajar kita kaedah berhadapan dengan wabak di dalam hadisnya.

Rasulullah S.A.W bersabda;

Advertisement


“Apabila kamu mendengar mengenai taun di sebuah negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila sudah berlaku di sebuah negeri pula dan kamu di dalamnya, maka janganlah kamu keluar daripadanya”.

(HR Bukhari)


Pihak DMPP ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikuti segala nasihat yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berikutan itu, DMPP ingin menyeru seluruh ahli khususnya Muslimat PAS untuk bersama-sama menganjurkan solat hajat dan munajat secara serentak pada 30 Januari nanti. Kita bermunajat dan memohon perlindungan daripada Allah Ya Hafiz Ya Muhaimin.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Jamadil Awal 1441
26 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 26/1/2020