Politik PH kebudak-budakan, temberang, buang masa

POLITIK negara selepas sesi pilihan raya adalah pembinaan pendidikan anak bangsa, memajukan pelbagai sektor kemajuan untuk mengangkat identiti negara ke tengah persada.

Bukannya asyik bertelagah sesama sendiri dan ianya tidak pernah berkesudahan selepas 20 bulan PH memerintah negara. Pertembungan itu dilihat merosakkan pakatan sesama parti komponen PH.

Tidak pernah berlaku sebelum ini di mana-mana, seorang Menteri Pendidikan meletakkan jawatan di minggu pertama persekolahan bermula. Senario ini menjadikan golongan pendidik seperti ‘anak ayam kehilangan bapa’.

Hubungan tidak mantap antara parti komponen dalam PH menjadikan mereka asyik bercakaran seperti anjing dengan kucing.

Sesama mereka kelihatannya seperti saling mengintai ruang untuk menyerang, menonjol kekuatan dan menjadi ketua. Teringat kisah seekor anjing melihat bayangnya ada anjing lain sedang menggonggong seketul tulang lalu direbutnya dengan mulut, akhirnya tulang di mulutnya yang terlepas.

PKR pula sering menimbulkan isu penggiliran jawatan Perdana Menteri yang didakwa hanya untuk 2 tahun sahaja. Empat bulan saja lagi tempoh itu akan tiba. Pelbagai kenyataan provokasi dibangkit termasuk oleh ‘PM Tepi’.

DAP pula asyik menimbulkan isu-isu kaum Cina yang sangat rasis sifatnya. Sehingga mereka sanggup menabrak hak-hak Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan. Sedangkan itu jelas melanggar Kontrak Sosial yang dipersetujui selama ini.

Apa sahaja dibangkitkan oleh DAP disokong kuat oleh rakan sekutunya, PAN ataupun mereka hanya diam sahaja langsung tidak terketik bila DAP membabitkan isu hak Melayu dan Islam.

Terkini sekali lagi, DAP mengugut untuk keluar PH jika tuntutan mereka ditolak. Mereka merasa kuat dengan kemenangan 42 kerusi dan kini memegang pelbagai jawatan utama negara.

Mereka perlu ingat itu adalah keputusan PRU14 yang mereka gunakan logo PKR. Kini senario sudah berubah. Buktinya dalam PRK P.176, kenaikan majoriti untuk Muafakat Nasional melonjak 13 kali ganda.

Apapun, jika mereka berani sila segera keluar bagi membolehkan Parlimen segera dibubar. Jika mereka tidak juga keluar, itu hanya temberang belaka, politik kebudak-budakan dan membuang masa rakyat.

PAS konsisten dalam hal ini. Tetap menyokong Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7 hingga tamat penggal ke 14 ini. Setelah itu, rakyat akan tentukan semula siapa bakal naik memerintah negara untuk lebih sejahtera.

Menukar pemimpin negara tidak semudah seperti menukar pemandu kenderaan yang sedang bergerak. Biarlah pemimpin bertukar selepas selesai sepenggal PH memerintah.

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
30 Januari 2020 / 5 Jamadil Akhir 1441H HARAKAHDAILY 30/1/2020

Advertisement