Melayu sudah berpecah 4 kali, PH sedang cipta ke-5

BAGAN SERAI: Penyatuan orang Melayu telah berlaku sebanyak empat kali dalam sejarah negara, namun setelah itu masih berpecah oleh pelbagai faktor, sekali gus menuntut ikatan kali kelima kini tidak mengulangi nasib yang sama.

Advertisement

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik berkata, kejayaan Penyatuan Ummah khususnya antara PAS dan Umno adalah perkara mengejutkan serta di luar jangkaan banyak pihak, terutama kepada musuh politik kedua parti ini.

Apatah lagi menurutnya, kejayaan dilakar hingga membentuk kekuatan atas nama Muafakat Nasional telah menggandakan usaha musuh untuk memecah-belahkan kembali ikatan telah dibina atas semangat untuk agama, bangsa dan negara ini.

Peringatan tersebut disuarakannya pada ceramah sempena Himpunan Anak Muda Istiqamah (HIMMAH) Negeri Perak 3.0 yang diadakan di Dewan Abdul Wahab Nor, Markas PAS Bagan Serai, Masjid Tinggi, di sini kelmarin dahulu.

Untuk rekod, pada Persidangan Agung Umno sebelum ini, parti Melayu itu telah meminda Perlembagaan dengan meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya menjadikan mereka seiring dengan PAS yang lebih dahulu menegaskan asas serupa.

“Kita ada sejarah yang panjang antara PAS dan Umno. Kita pesan kepada ahli kita, sejarah lama tak payah ingat. Memang kita bergaduh 60 tahun ni dulu memang bergaduh hebat. Kalau berjalan ni lapar nasi singgah tepi jalan tengok kedai biru tak jadi singgah. (Itu) Baru (kerana warna) biru je tu.

“Tapi kita ada sejarah yang panjang, sejarah bukan untuk kita jadikan kenangan. Nak sebut sebut balik tidak. Nak kira pahit memang pahit, kalau kita nak bersatu kembali, kalau nak rujuk balik suami isteri jangan ulang balik sebab-sebab penceraian yang pernah berlaku.

Kalau isteri sebut-sebut kesalahan suami, suami sebut kesalahan-kesalahan isteri sampai bila pun tak jadi rujuk. Akhir sekali nak rujuk. Tak jadi nak rujuk, tak jadi. _Last_ sekali isteri nikah dengan tuan Kadi,” selorohnya.

Tegas beliau, musuh politik PAS dan Umno dari pihak Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha sedaya-upaya menjelang PRU15 untul memecahkan Muafakat Nasional supaya kedua-dua parti tidak bersama, termasuk hubungan dalaman.

Terangnya, jikapun PH tidak dapat memecahkan antara PAS dan Umno, mereka akan pecahkan dalaman PAS atau Umno kerana perpecahan salah satu darinya sudah memadai melemahkan Muafakat Nasional atau parti lain gabungannya.

“Umno kena jaga supaya tidak berlaku perpecahan dalam Umno. PAS kena jaga supaya tidak berlaku perpecahan dalam PAS.  Pimpinan PAS dan pimpinan Umno kena berjaga-jaga supaya tidak ada ruang bagi musuh memisahkan kita semua. Ini usaha yang perlu kita buat.

“Macam-macam tuduhan dia nak pecahkan kita. Dia perhidup balik (isu) Amanat Haji Hadi supaya orang Umno benci balik dekat PAS. Amanat Haji Hadi! Amanat Haji Hadi! Supaya Umno kembali benci kepada PAS. Dia ulang balik peristiwa Memali supaya PAS benci kepada Umno. Sekarang kita jangan layan.

“Bila kita sudah meletakkan satu asas yang kukuh “ta’awanu alal birri wattaqwa wala ta’awanu alal ismi wal udwan”, maka inilah yang akan menjadi paksi dan jalan kita takkan biarkan musuh pecahkan,” ujarnya mengajak kewaspadaan.

Beliau memetik penyatuan Melayu kali pertsma melibatkan semua parti ketika menentang Malayan Union; diikuti kedua ketika menghadapi pengganas Komunis antara tahun 1941 hingga 1945; dan ketiga ketika menuntut kemerdekaan; manakala keempat ekoran kejadian 13 Mei 1969.

“Melayu bersatu lawan Komunis, Komunis mana? Komunis tok kepada DAP tulah. Kita lawan. Itu zaman kegelapan Tanah Melayu. Ni, baru ni Lim Guan Eng dia kata jika sekiranya PAS memerintah negara, maka (negara) akan berada dalam kegelapan. Kami nak beritahu PAS memerintah Kelantan berapa puluh tahun dah tak pernah gelap Kelantan!

“Era kegelapan Tanah Melayu bukan masa PAS memerintah tetapi ialah masa Komunis memerintah. Walaupun 14 hari dia memerintah tapi gelap negara masa zaman datuk kamu (DAP) memerintah. Itulah zaman kegelapan Tanah Melayu. Ini kita nak beritahu dia. Dia nak tipu fakta sejarah.

“Sampai Melayu ni pun dia kata tak tahu datang dari mana? Memanglah kamu tak tahu! kamu bukan Melayu. Kami kaji sejarah Melayu. Ini yang sedang kita perjuangkan sekarang,” tegasnya mengingatkan agar jangan lagi berpecah setelah ini.

Katanya, walaupun menerima ‘kesakitan’ akibat kekalahan PRU14, tetapi Allah S.W.T telah memberi nikmat dengan menjinakkan hati PAS-Umno untuk bersatu hingga boleh memeterai Piagam Muafakat Nasional di mana ia suatu perkara tidak pernah dijangka. – HARAKAHDAILY 18/2/2020