Tiada peralihan kuasa akan ditentukan hari ini

SELAKU seorang pengamat politik, saya tidak nampak sebarang jalan bahawa tempoh spesifik peralihan kuasa akan dapat ditentukan di dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada hari ini, 21 Februari 2020.

Advertisement

Ini kerana termaktub jelas di dalam Fasal 1.2 Perjanjian Pakatan Harapan (PH) peruntukan yang berbunyi bahawa segala keputusan di dalam PH “adalah berasaskan prinsip konsensus iaitu setiap parti di dalam PH perlulah bersetuju sebulat suara dengan keputusan itu”.

Di dalam keadaan hanya tiga buah parti di dalam PH sahaja yang bersetuju dengan sesuatu keputusan yang hendak dibuat tetapi sebuah parti di dalam PH tidak bersetuju dengannya maka keputusan itu tidak boleh dibuat dan jika dibuat juga akan menjadi tidak sah.

Sesatunya cara untuk keputusan itu dibuat ialah dengan menggunakan Fasal 7.2 yang membolehkan tiga buah parti yang berkenaan “membuat keputusan untuk menggugurkan keanggotaan parti yang membuat tindakan yang melanggar Perjanjian PH itu dari PH”.

Soalnya sekarang ialah beranikah tiga buah parti yang berkenaan mengambil tindakan nekad dan drastik untuk menggugurkan keanggotaan parti yang tidak bersetuju itu?

Jika ini berlaku sekalipun, keputusan sebulat suara masih tidak akan diperolehi jika di dalam tiga buah parti yang berkenaan itu ada mana-mana pemimpinnya yang tidak bersetuju.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF- HARAKAHDAILY 21/2/2020