COVID-19: Masa untuk bersatu di belakang PM

MALAYSIA sedang mengalami krisis yang luar biasa akibat penularan jangkitan COVID-19 yang kini telah menjangkiti hampir 500 orang di negara ini setakat artikel ini ditaip. Jumlah kematian pula meningkat dari masa ke semasa walaupun dalam kadar yang perlahan. Virus ini tidak mengenal anda etnik apa, negeri mana, atau ahli parti politik apa.

Advertisement

Pendek kata kita semua rakyat Malaysia sedang berada dalam sasaran virus pembunuh bersiri ini. Buat pertama kali kita dengar istilah ‘pandemik’ yang benar-benar memberi impak terhadap sosio-ekonomi negara, tidak seperti ketika negara diserang virus Nipah suatu ketika dahulu. Buat pertama kali mungkin sejak Tragedi 13 Mei 1969, rakyat kita mengalami sekatan pergerakan, dan negara diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Di kala virus ini terus memburu mangsanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula sedang berada dalam ‘mood’ pemilihan. Manakala kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula baru terbentuk mengikut perlembagaan negara sepertimana penjelasan DYMM Sultan Selangor dua hari lepas di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri tersebut.

Perdana Menteri (PM) merupakan wakil yang dilantik Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berdasarkan mandat majoriti ahli-ahli parlimen untuk mentadbir kerajaannya. Kerana itu jika kita mengaku taat kepada YDPA maka kita perlu hormat dan patuh kepada PM selagi PM menjalankan amanahnya untuk rakyat dan negara. Bukan mudah untuk menyatupadukan rakyat negara ini yang majmuk tanpa kehadiran musuh bersama.

Adakah COVID-19 itu musuh bersama rakyat Malaysia? Ya, bahkan ia musuh bersama manusia sejagat. Hanya penyatuan dan kepatuhan kita kepada pemimpin negara saja membolehkan musuh bersama ini dikalahkan. Tidak boleh ada ‘banyak kepala’ di peringkat tertinggi yang memberi arahan dalam negara ini. Sungguhpun kita meraikan pendapat-pendapat yang berbeza namun kita perlu akur akan keputusan kerajaan dalam menghadapi musuh negara seperti COVID-19 tersebut.

Anda tidak perlu menjadi peminat Tan Sri Muhyiddin Yassin atau penyokong kerajaan Perikatan Nasional untuk membantu negara menghadapi krisis ini. Anda hanya perlu menjadi warganegara yang bertanggungjawab, matang dan rasional untuk turut sama membantu kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung demi pemulihan negara serta keselamatan nyawa kita semua. Ini bukan lagi masa untuk menuding jari mencari kambing hitam. Ini masa untuk terus peka dengan perkembangan terkini wabak tersebut dan faham arahan terbaru kerajaan.

Dalam keadaan krisis, rakyat perlu lebih berdisiplin, lebih tangkas dan lebih bersabar. Kita berada dalam satu situasi bersejarah yang mungkin tidak akan terjadi dalam jangka masa yang lama setelah ini. Dalam sejarah moden, Malaysia tidak pernah mengalami bencana dalam skala nasional seperti ini walaupun sering dilanda musim tengkujuh yang membawa banjir besar di beberapa kawasan.

Krisis atau bencana juga mampu memunculkan inovasi-inovasi baru, atau memantapkan penjualan produk-produk tertentu seperti cecair pencuci tangan, sarung tangan, penutup muka, atau alat pengesan suhu badan yang mendapat permintaan tinggi ketika ini. Bagi sesetengah pihak, kehadiran krisis atau konflik merupakan suatu peluang bisnes untuk menjana keuntungan. Namun kerajaan perlu terus memantau agar tiada pihak yang ambil kesempatan untuk menaikkan harga produk-produk tersebut ke peringkat yang tidak munasabah.

Cuba lihat bagaimana Kerajaan Komunis China menangani penularan wabak COVID-19 tersebut di negara mereka. Ketika ini penguasaan total kerajaan terhadap hampir semua elemen kehidupan rakyat dilihat mampu memperlahankan kadar jangkitan dan kematian akibat virus itu. Malah entiti swasta termasuk para ‘Billionaires’ dan hartawan di China turut membantu meringankan beban kerajaan dengan menyumbangkan aset atau dana dalam menghadapi krisis tersebut.

Pendek kata, di waktu negara mengalami krisis bencana ini, ia bukanlah masa untuk meraih laba politik dengan cuba mencari salah pihak tertentu atau berlagak hero seolah-olah pihak kita saja yang mempunyai pendapat yang betul. Ia bukan masa untuk kita berselisih dalam perkara-perkara remeh atau terus menyerang ‘friendly fire’ sesama sendiri. Kita perlu anggap COVID-19 sebagai tentera penjajah dan negara pula sedang berada dalam peperangan.

Ayuh bersatu!

DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
17 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 17/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.