Covid-19: Terasa denyut nadi, susah rakyat – Amzad

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mengakui diri tidak dapat menahan rasa sedih dan simpatinya dengan kesusahan rakyat akibat penularan wabak Covid-19.

Apatah lagi, katanya apabila kerajaan Malaysia mengenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi memutuskan rantaian penyakit yang merbahaya itu.

Menurut beliau, selalu memikirkan bagaimana mahu membantu rakyat yang dalam kesulitan berikutan sekatan itu hingga mereka hilang sumber pendapatan keluarga.

Advertisement

“Kita sentiasa bersama denyut nadi kesusahan rakyat, jika rakyat menangis kerana ditimpa kesusahan, percayalah kita juga menangis memikirkan nasib mereka, amanah ini adalah amanah dari Allah, kita wajib bantu rakyat dalam apa jua keadaan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menyerahkan 500 Pek Barangan Keperluan Harian kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Perhubungan dan Kemasyarakatan Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab dan Pengerusi MPKK PPR Padang Hiliran, Zabri Awang.

Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengingatkan bahawa MPKK merupakan mata dan telinga kerajaan negeri.

Katanya, pihak MPKK perlu mendengar aduan semua rakyat yang sedang dalam kesulitan dan wajib membantu di kalangan mereka yang benar-benar layak.

“MPKK merupakan mata dan telinga kerajaan dalam mendengar sebarang aduan daripada rakyat yang susah. Saya meminta supaya jangan ada yang tercicir dan semua rakyat susah wajib dibantu, dengan syarat siasat dahulu.

“Jika mereka itu benar-benar layak, beri bantuan tanpa mengira perbezaan warna kulit, agama atau fahaman politik sebelum ini.

“Semoga Allah SWT memberi ketabahan buat kita semua dalam menghadapi apa jua ujian yang berlaku, Insya’Allah tentu ada hikmah disebalik semua ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Pengerusi MPKK berkenaan Zabri Awang turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan 500 pek barangan keperluan harian bagi penduduk terjejas akibat sekatan PKP.

Sebelum ini, katanya sumbangan datang berperingkat-peringkat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed serta pihak-pihak tertentu.

“Kami di Flat PPR Padang Hiliran ini mempunyai seramai 1002 buah keluarga melalui tiga blok bangunan A, B dan C serta dianggaran lebih 4,000 orang penghuninya.

“Lebih kurang 80 peratus dari penghuni Flat Padang Hiliran ini bekerja sendiri sebagai peniaga kecil, buruh kasar, pekerja sambilan dan sebagainya.

“Agihan bantuan ini akan diberi keutamaan kepada mereka yang paling terjejas di kalangan warga miskin berpendapatan rendah, ibu tunggal dan mereka yang hilang sumber pendapatan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Harakah dimaklumkan, lebih 800 penghuni flat berkenaan terdiri dari kalangan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Ladang, Wakaf Mempelam dan DUN Batu Burok.- HARAKAHDAILY 3/4/2020