Debar menanti PKP fasa 3

SETIAP hari kalimah ‘Stay At Home’ diulang-ulang kerajaan. RTM juga kreatif menayang kempen ‘Duduk Di Rumah’. Di media sosial juga pelbagai sticker kempen ditemui.

Sehingga hari ini 22 hari rakyat terperap di rumah. Dan enam hari lagi berbaki untuk sampai edah 14 April. Itupun sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua tidak disambung.

Ini bermakna seminggu lagi suasana kembali kepada asal sebelum wabak Covid melanda. Babak cemas yang berlaku sekarang merupakan episod kedua selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Selepas 9 Mei 2018 suasana hiruk pikuk berlaku dalam negara. Janji peralihan kuasa hampir setiap hari ditagih.

Advertisement

Rakyat pula cuba disajikan dengan hutang negara lebih RM1 trilion.
Menteri Kewangan pada 24 Mei 2018 menyebut hutang negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sehingga 31 Disember 2017.

Kata Lim Guan Eng, kerajaan membelanjakan RM5.1 bilion tahun lepas dan 2020 bagi melunaskan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta SRC International Sdn Bhd (SRC).

Kenyataan itu membuat persidangan parlimen menjadi tegang. Tiada hari tanpa aksi panas di parlimen sebelum ini.

Namun rakyat tidak terkesan. Mereka tidak kisah kerana masih boleh mencari rezeki tanpa disekat.

Kemuncak hiruk pikuk politik negara pada 24 Februari lepas apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengosongkan jawatan.

Beliau menghantar surat meletak jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Di saat itu rakyat mulai dibalut resah. Ramai mendoakan semoga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi diberi tongkat kuasa.

Tidak kurang juga menganggap peluang terbaik bagi Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Enam hari suasana negara kelam kabut. Tiada ketua kerajaan dan kabinet kecuali perdana menteri interim.

Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah pada 1 Mac ramai mulai lega. Ada yang panjat doa, bersyukur ke hadrat Ilahi.
Namun lega rakyat tidak bertahan lama. Majlis kesyukuran pelantikan menteri baharu tidak sempat diadakan.

Mulai 18 Mac rakyat dilanda resah semula. Namun bukan kerana faktor politik sebaliknya wabak penyakit. Suhu resah rakyat lebih tinggi. Kegiatan ekonomi, sosial dan agama diikat kerajaan.

Mereka tidak dibenarkan keluar rumah kecuali ada keperluan mendesak.

Resah di penghujung

Mungkinkah keresahan itu 6 hari lagi bakal berakhir. Resah rakyat dapat dilihat apabila sehingga semalam sebanyak 6,451 orang ditahan kes ingkar PKP di seluruh negara.

Ramai mengharap mereka tidak lagi disekat untuk keluar mencari rezeki. Namun tidak mudah bagi kerajaan membenarkan pergerakan bebas bermula 15 April ini.

Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah,
Malaysia merekodkan 69 kes sporadik Covid-9 setakat semalam.
Peliknya kes itu tidak diketahui asal usul dan punca jangkitannya.

Di Kuantan, Pahang dikesan kes SARI yang tidak ada sejarah, dirawat di ICU namun dikesan positif Covid-19.

“Ini bererti virus Covid-19 sudah ada dalam komuniti kita. Ia sudah sampai dalam komuniti kita. Itu sebab kita galak semua orang duduk di rumah untuk putuskan rantaian jangkitan,” kata Dr Noor Hisham.

Sehingga semalam sebanyak 170 kes baru Covid-19 dengan satu lagi kematian. Jumlah kes positif 3,963 kes membabitkan keseluruhan 63 kematian.

Selain itu terdapat 18 zon merah di seluruh negara. Dan semalam juga terdapat satu lagi lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), iaitu bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di Simpang Renggam Kluang, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah Kuala Lumpur.

Mengambil kira apa yang berlaku sekarang, seperti perlu ada PKP fasa 3. Bagi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh, ada keperluan PKP fasa 3 disambung.

Namun kerajaan perlu ada kaedah lain sekiranya fasa 3 muncul. Mungkin ada sedikit kelonggaran. Setidak-tidaknya peraturan jarak sosial 1 meter dan memakai topeng muka perlu diteruskan.

Fasa 3 juga mungkin membenarkan cuti persekolahan disambung setidak-tidaknya 7 hari lagi selepas 14 April.

Langkah Kementerian Pendidikan mengutamakan e-learning perlu diperkasa. Begitu juga pendidikan melalui TV Okey (RTM).

Sehari dua ini ramai buat teka teki sama ada PKP tamat atau muncul PKP 3.

M FAQIH- HARAKAHDAILY 8/4/2020