‘Face mask’ percuma akan diagih segera – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengagihkan topeng muka secara percuma sebanyak empat keping kepada setiap isi rumah di seluruh negara.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian topeng muka tersebut mengikut syor pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diutamakan kepada individu yang mempunyai gejala Covid-19 sahaja.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan hanya mereka yang bergejala sahaja yang perlu memakai topeng muka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 24.6 juta topeng muka sedang dalam proses pengedaran oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Ia akan diedarkan oleh APM kepada Majlis Keselamatan Negeri, seterusnya ke daerah melalui pusat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Dari pusat jawatankuasa ini, topeng muka akan diagihkan ke rumah ke rumah melalui petugas barisan hadapan di daerah-daerah,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi bekalan topeng muka untuk penduduk di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dihantar oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui penerbangan khas pada Jumaat ini.- HARAKAHDAILY 8/4/2020