Jasa wira KKM sangat besar untuk negara

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengucapkan Selamat Hari Kesihatan Sedunia kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di barisan hadapan ketika krisis COVID-19 melanda negara.

Advertisement

Menurut beliau, seluruh petugas KKM termasuk Ketua Pengarah, Pengarah-pengarah, Pegawai, doktor, jururawat serta sesiapa sahaja yang berada dalam Kementerian Kesihatan mereka adalah wira negara.

“Ibarat berada di medan perang, mereka berada di barisan hadapan untuk melindungi rakyat daripada diserang oleh musuh.

“Ketika negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19, mereka tidak hiraukan tentang keselamatan diri yang berisiko untuk dijangkiti wabak tersebut,” katanya.

Beliau kagum dengan semangat seluruh pegawai dan kakitangan dalam KKM yang berjiwa kental untuk terus berada di barisan hadapan memberi rawatan terbaik kepada mangsa COVID-19.

Katanya, setiap hari ada sahaja penambahan pesakit baharu dan paling sedih kematian telah meningkat namun, ia tidak mematahkan semangat juang KKM untuk terus berkhidmat dengan baik.

“Bayangkan ketika kita duduk di rumah bersama keluarga, bermain dengan anak-anak, menonton tv tapi pegawai dan kakitangan perubatan bersekang mata menahan keletihan untuk menyelamatkan rakyat yang dijangkiti wabak bahaya COVID -19,” ujarnya.

Siti Zailah merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang menambah, para doktor, jururawat pemandu ambulan mempertaruhkan nyawa mereka untuk berlawan dengan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Kita sangat terkesan apabila melihat petugas kesihatan ada yang tertidur di atas kerusi, atas lantai sebagaimana yang tular di media sosial. Ini sangat memilukan,” luahnya.

Menurut beliau, jasa mereka sangat besar untuk rakyat dan negara. Selamat Hari Kesihatan Sedunia untuk wira-wira Negara. – HARAKAHDAILY 8/4/2020