Pergerakan 4 Mei terikat dengan peraturan PKP

KUALA LUMPUR: Pergerakan orang awam masih terikat dan tertakluk dengan akta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun kelonggaran bersyarat diberikan kepada sebahagian sektor ekonomi dan perniagaan untuk beroperasi pada 4 Mei ini.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan, PKP masih berkuatkuasa di bawah Akta 342 yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan kepada mereka yang ingkar akta ini.

“Kita tidak membuka secara keseluruhan, bukan semua boleh beroperasi sebagai contoh Kementerian Pendidikan Malaysia masih lagi belum beroperasi, sekolah-sekolah, universiti-universiti, perhimpunan ramai masih lagi tidak dibenarkan.

“Walaupun kita membuka tetapi tidak bermakna seperti yang disebut oleh banyak pihak kita membukanya secara tergesa-gesa seperti saya katakan kita melalui peringkat tertentu,” ujarnya dalam sidang media harian PKP, di Putrajaya hari ini.

Beliau menerangkan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam yang membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi dan perniagaan untuk beroperasi pada Isnin ini.

Ujarnya, kerajaan sentiasa menekankan Prosedur Operasi Standard (SOP) diperketatkan di setiap peringkat sektor ekonomi dan premis perniagaan supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, membasuh tangan dengan air dan sabun dan sentiasa memakai topeng muka.

“Kita berikan sedikit kelonggaran supaya peniaga seperti warung goreng pisang dan tentu sahaja boleh membungkus makanan kita benarkan dibuka kerana hidupan rakyat di akar umbi adalah amat sukar terutamanya di warung-warung, gerai-gerai kecil yang tidak dibenarkan selama ini.

“Jadi kita beri peluang kepada mereka mencari pendapatan walaupun sedikit, sekurang-kurangnya mereka boleh berniaga di depan rumah dan sebagainya.

“Sebab itulah kita mula berikan sedikit kelonggaran walau bagaimanapun seperti saya sebutkan tadi, ini tidak bermakna PKPditarik balik

“Saya nak beri penjelasan sekali lagi bahawa PKP tidak ditarik balik yang ada hanyalah dilonggarkan untuk beberapa sektor tertentu,” ulasnya yang juga Menteri Pertahanan. – HARAKAHDAILY 2/5/2020