Industri ukiran kayu berpotensi dimajukan

PADA hari ini, 13 Mei 2020,  Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai industri ukiran  kayu dan potensinya untuk dibangunkan di bawah industri kayu-kayan negara.

Advertisement

Ukiran kayu mempunyai nilai estetika yang tinggi dan mempunyai potensi untuk dikembangkan. Industri ini mampu untuk  mencapai nilai pasaran tempatan yang dianggarkan di antara RM150 juta hingga RM200 juta setahun. 

Selain daripada produk ukiran yang mempunyai nilai tinggi, komponen ukiran juga boleh dimanfaatkan sebagai produk nilai tambah kepada produk-produk lain terutamanya dalam pembuatan perabot, kapal mahupun produk panel. 

Kombinasi perabot yang ditambah nilai dengan seni ukiran mampu memberi pulangan harga yang lebih baik kerana mempunyai identiti tersendiri, unik dan mempunyai potensi   untuk dimajukan.

Pada masa ini, terdapat seramai 500 orang usahawan ukiran kayu di seluruh Malaysia.  Pengukir-pengukir yang  masih aktif beroperasi di beberapa buah negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

Daerah Besut di Terengganu merupakan kawasan termasyhur bagi industri ukiran kayu negara. Ramai pengukir-pengukir tersohor negara dalam industri ukiran kayu dilahirkan di daerah Besut, Terengganu.

Dalam hal ini, Kementerian sedang menyediakan Pelan Strategi Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara bagi tempoh 2021-2030.

Pelan ini merangkumi pelbagai aspek seperti latihan dan kemahiran modal insan, promosi seni ukiran, keusahawanan dan penggunaan mesin serta peralatan. 

Pelan tersebut dirangka bagi memartabatkan industri ini yang bakal menjadi kebanggaan Malaysia pada masa hadapan.

Kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama PENGUKIR iaitu sebuah persatuan yang dianggotai oleh para pengukir tempatan akan mempromosikan seni ukiran kayu Malaysia di peringkat negeri dan nasional. 

Selain itu, Kementerian juga berhasrat menjadikan  Besut sebagai Hub Ukiran Kayu Negara di  mana pelbagai program berkaitan pembangunan seni ukiran akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, bagi meneruskan kelangsungan seni ukiran kayu sebagai warisan bangsa dan negara berkekalan, pembangunan industri ini adalah perlu supaya hasil seni ukiran oleh pengukir dapat diteruskan dan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya- HARAKAHDAILY 13/5/2020