Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 30)

TADABUR al-Quran pada hari terakhir Ramadan ini akan memfokuskan beberapa ibrah Ilahi melalui juzuk 30. Kita telah bermula sejak juzuk 1 dengan kupasan peringatan Allah berkait hikmah ibtila’ Allah yang ditimpakan kepada manusia. Jika kita amati, Allah S.W.T telah memulakan di awal surah al-Baqarah dengan ayat:

Advertisement

ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ


“Itulah al-Kitab (al-Quran), tiada keraguan padanya sebagai petunjuk kepada orang-orang bertakwa.”

Ia membawa pengertian bahawa setiap apa yang kita baca dan tadabur melalui ayat al-Quran merupakan kebenaran yang wajib dipegang yang tiada keraguan sedikitpun. Sesiapa yang patuh tanpa alasan akan mendapat hidayah manakala yang sentiasa beralasan akan jauh daripada petunjuk. Menerusi juzuk 30 ini pula, boleh dikatakan semua surah agak pendek, namun maknanya cukup besar dan seruannya amat berat sekali.

Antara penghayatan yang perlu diberi perhatian, Allah S.W.T telah mempamerkan kemurkaan-Nya kepada beberapa golongan melalui firman-Nya yang menggunakan kalimah Al-Wail. Imam Al-Qurtubi menjelaskan perkataan Al-Wail dalam al-Quran diguna untuk golongan yang mendapat kebinasaan serta kemurkaan Allah di dunia dan akhirat. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Muthaffifin:

وَیۡلࣱ لِّلۡمُطَفِّفِینَ. ٱلَّذِینَ إِذَا ٱكۡتَالُوا۟ عَلَى ٱلنَّاسِ یَسۡتَوۡفُونَ. وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ یُخۡسِرُونَ

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

[al-Mutaffifin: 1-3]

Orang yang suka menipu ketika berjual beli dengan mengurangkan hak orang lain adalah termasuk golongan celaka yang disediakan kehinaan di dunia dan azab di akhirat melainkan orang yang bertaubat. Sikap demikian adalah kezaliman kepada manusia yang sangat dimurkai Allah. Begitu juga golongan yang suka mengumpat, memfitnah dan mengeji orang lain sehingga mendapat malu serta dibenci orang, juga termasuk kalangan puak celaka yang difirmankan dengan lafaz kemurkaan Al-Wail. Firman Allah S.W.T:

وَیۡلࣱ لِّكُلِّ هُمَزَةࣲ لُّمَزَةٍ. ٱلَّذِی جَمَعَ مَالࣰا وَعَدَّدَهُ. یَحۡسَبُ أَنَّ مَالَهُ أَخۡلَدَهُ

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya. Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini).”

[al-Humazah: 1-3]

Golongan ini menyangka dengan kuasa dan kekayaan, mereka dapat berbuat sesuka hati serta mengherdik dan memperlakukan orang lain seperti haiwan. Ternyata kaya dan kuasa manusia hanya sementara, apabila tiba Izrail, baharulah mereka tahu siapa sebenarnya yang berkuasa.

Kecelakaan juga terjadi kepada golongan yang menzalimi diri mereka sendiri. Mereka suka mencuri dalam mengerjakan amal ibadat kerana menyangka Allah tidak mengetahui atau disebabkan hatinya bebal dan keras membatu. Orang yang mencuri dalam solat ialah yang tiada langsung thama’ninah dalam rukuk dan sujud bahkan selalu mengerjakan solat pada akhir waktu serta ingin mendapat pujian orang. Bak kata, solat tidak penting, utamakan kerjaya dahulu. Dalam hal ini, Allah S.W.T berfirman:

فَوَیۡلࣱ لِّلۡمُصَلِّینَ. ٱلَّذِینَ هُمۡ عَن صَلَاتِهِمۡ سَاهُونَ. ٱلَّذِینَ هُمۡ یُرَاۤءُونَ

“Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang sembahyang, iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).”

[al-Ma’un: 4-6]

Maka, sesiapa yang mempunyai sifat-sifat yang dinyatakan melalui ayat di atas, dia termasuk dalam ‘golongan Wail’ yang mendapat hukuman Allah di dunia dan azab di akhirat. Oleh itu, bersegeralah kembali kepada Allah dengan bertaubat dan memohon kemaafan dengan mereka yang pernah dizalimi.

Cuma perlu difikirkan, sejauhmana kita dapat berhadapan dengan pelbagai cabaran di hadapan nanti. Segala perintah, nasihat dan bimbingan al-Quran yang diperolehi melalui tilawah, tadabur dan penghayatan ibrahnya, adakah kita telah laksanakan? Semua persoalan ini memerlukan kesiapsiagaan kita, dengan sentiasa berusaha menghindari musuh utama kita iaitu syaitan daripada kalangan jin dan manusia:

(مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ)

Syaitan akan sentiasa membisikkan keraguan supaya manusia turut kufur sepertinya. Manakala syaitan manusia iaitu dirinya sendiri yang menjadi penghalang kepada kebenaran yang telah disampaikan oleh para Nabi dan Rasul A.S. Apabila pengaruh syaitan jin dan manusia dapat dihindari, di situlah kita menemui jalan hidayah dan istiqamah.

Semoga Allah S.W.T mengurniakan kepada kita keberkatan dan ganjaran amal ibadat yang berlipatganda sepanjang Ramadan tahun ini. Selamat menyambut hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, insya-Allah Ramadan 1442H kita bersama lagi.

من العائدين والفائزين، كل عام وأنتم بخير

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
30 Ramadan 1441 / 23 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 23/5/2020