Lorong-lorong keramat

PADA pagi itu, saya diberitahu oleh Abang Kamarul Arif bahawa ayah (Prof) Dr Supyan Husin telah meninggal dunia. Jenazah akan disolatkan sebelum Zohor. Saya menumpang Ustaz Hassan ke Keramat. Kami sama-sama menyolatkan jenazah arwah ayah kepada sahabat kami itu di rumahnya, di Lorong 10 Datuk Keramat, menghala ke Sungai Kelang, menjelang Zohor itu. Tiga hari lepas, saya text Dr Supyan bertanya tarikh kewafatan ayahnya itu. “2005,” jawab beliau. Saya tidak memberitahunya kenapa tiba-tiba saya bertanya. “Dulu ana datang rumah enta masa solat jenazah,” ringkas sahaja penjelasan saya.

Selepas selesai solat, saya berkereta dengan Ustaz melalui Jalan Datuk Keramat menuju Jalan Tun Abdul Razak. Saya agak biasa di kawasan ini, kerana ketika bujang, saya tinggal di Flat Columbia, Jalan Enggan di sebelah Kilang Penadol. Jadi, jalan-jalan di kawasan Datuk Keramat sampai ke atas Bukit Keramat dan lorong-lorong maktab (UTMKL) sampai Pusat Latihan Polis memang dalam kepala saya. Tiba-tiba Ustaz yang memandu menunjukkan tangannya ke arah lorong-lorong di kanan kami.

Advertisement

“Di situ rumah ana dulu,” sambil tangannya menunjukkan ke arah Lorong 5 Datuk Keramat.

“Ustaz pernah duduk di sini ke?” saya bertanya.

“Dulu ana duk di Pokok Asam, Taiping. Masa kerja di Pejabat Perhubungan (PAS) Perak. Berkawan dengan Ustaz Wahab (Nor) dan Dr Dali (Moin). Tahun ’70 itu, kami kahwin. Lepas itu berpecah bila ana datang ke Kuala Lumpur.

“Ana kahwin dengan Kak Dah (Hamidah Talib), Dr Dali kahwin dengan adik Dr Burhanuddin (al-Helmy) yang mak orang Minangkabau. Hayati namanya, kira adik mak lain dengan Dr Burhanuddin,” Ustaz bercerita mengenai kisah awalnya mendirikan rumah tangga.

“Macam mana Ustaz boleh pindah ke KL,” saya mula mengorek cerita-cerita peribadi Ustaz.

“Masa MAGERAN itu, semua kerja politik terhenti. Jadi, Ustaz Jaiz (Anwar, Ketua Pemuda PAS Pusat) merancang untuk sambung belajar. Ketika ini dia Setiausaha Kerja PAS Pusat. Dia mohon untuk sambung PhD di Scotland. Jadi, dalam tahun ’70 itu, dia dah makluman akan letak jawatan. Dia pula menantu Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda), (Pemangku) Yang Dipertua Agung PAS.

“Masa Ustaz Baharuddin (Abdul Latiff) jadi Setiausaha Agung PAS, dia buat susunan pejabat begini, semua Ketua Dewan (Ulamak, Pemuda dan Muslimat) jadi pegawai sepenuh masa Pejabat Agung PAS. Kalau tak, diganti oleh Setiausaha Dewan. Tujuannya untuk penyelarasan kerja-kerja pentadbiran dan program.

“Jadi, Ustaz Jaiz itu kerja sepenuh masa di Pejabat Agung, tapi Ketua Ulamak, Tok Guru Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) dia Ahli Parlimen; Ketua Muslimat, Datin Sakinah (Junid) pula, dia isteri Datuk Asri, Menteri Besar Kelantan. Sebab itu, Setiausaha Dewan Ulamak, Ustaz Othman Hamzah dengan Setiausaha Dewan Muslimat, Ustazah Hayati (Hassan, isteri Ustaz Othman Hamzah) menjadi petugas sepenuh masa parti. Pak Yazid (Jaafar) jadi Pegawai Penerangan ganti Ustaz Abu Bakar Umar yang jadi wakil rakyat. Lepas itu, Pak Yazid jadi Pesuruhjaya (PAS) Selangor. Setiausaha Agung (PAS), Ustaz Baharuddin jadi Ketua Pejabat Agung. Dia biras Ustaz Othman Hamzah, sebab isteri dia, Ustazah Fatimah itu kakak Ustazah Hayati. Mereka semua itu keluaran Maahad Al-Ihya (as-Syarif, Gunung Semanggol),” Ustaz mula memberikan latar belakang Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur.

“Bila Ustaz Jaiz nak berhenti, cari pegawai baru. Mereka cadangkan ana. Boleh jadi sebab kejayaan Gerakan Insaf dan Gerakan Syuhada. Lagi pun, masa ini dah biasa menulis dalam Bulan Bintang, jadi dia orang dah kenal ana. Dia orang jemput ana bekerja di Pejabat Agung di Kuala Lumpur, gaji RM300. Ana dengan Kak Dah pun pindah ke Kuala Lumpur, dalam tahun ’70 itu lah.

“Masa ini politik masih digantung. Tapi Datuk Asri dan Ustaz Hassan Adli dah tahu, Tun Razak akan tarik balik MAGERAN itu dalam bulan sembilan (September 1970), sebab itu kita perlukan kakitangan untuk hadapi perubahan politik yang berlaku lepas itu,” Ustaz terus bercerita sebab-sebab beliau berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Tiba-tiba datang ke KL, Ustaz tinggal kat mana?” saya terus menyiasat.

“Ana menyewa sebuah rumah kecil. Satu bilik je. Di Lorong 5 Datuk Keramat, tempat yang ana tunjuk tadi itu lah. Ana berjiran dengan dengan Ustaz Othman dan Ustaz Baharuddin. Mereka yang carikan rumah ini untuk ana. Jadi, rumah kami sebelah-sebelah je, di Lorong 5 itu. Tempat itu pun tak jauh sangat dari Pejabat Agung PAS. Pasar Keramat pun sebelah itu je. Kawasan ini semua orang Melayu, jadi kami takde masalah duduk sini. Orang Melayu tak nak duduk kawasan Cina. Baru lepas 13 Mei,” Ustaz bercerita pula mengenai rumahnya itu.

“Pejabat Agung PAS itu kat mana, Ustaz?” saya terus bertanya.

“Sebelum ini di Kampung Baru, mengadap Jalan Daud, tepi Masjid Jamek (Kampung Baru). Lepas itu, pindah ke Jalan Pekeliling (sekarang Jalan Tun Abdul Razak) awal tahun ’70. Mula-mula kita menyewa di satu ruang di tingkat dua, lepas itu pindah ke tingkat tiga, di bangunan yang sama dan tangga yang sama… hujung atas klinik homeopathy sekarang itu,” Ustaz terus menyebutkan perihal Pejabat Agung PAS pada masa itu.

“Situlah,” Ustaz menunjukkan kepada saya bangunan yang menjadi Pejabat Agung PAS ketika kami melalui di hadapan bangunan tersebut di persimpangan Jalan Semarak – Jalan Tun Abdul Razak. “Ana mula bekerja di sinilah tahun ’70 itu,” jelas Ustaz.

“Ustaz Jaiz pergi UK bila, Ustaz?” saya mengalihkan isu kepada Ustaz Jaiz pula.

“Tun (Abdul) Razak (Hussein) umumkan darurat berakhir pada 31 Ogos’ 70. Sempena hari merdeka itu, dilancarkan juga Rukun Negara. PAS terlibat secara langsung gubal Rukun Negara ini. Kita duduk dalam Jawatankuasa Muhibbah dan Jawatankuasa Perpaduan yang ditubuhkan di bawah MAGERAN. Jadi, 1 September ’70 itu kira politik sudah dibenarkan semula, Parlimen kembali berfungsi. Dalam 20 hari lepas itu, Ustaz Jaiz berhenti kerja sebab nak pergi ke UK. Dia letak jawatan Ketua Pemuda (PAS) sekali,” cerita Ustaz kepada saya.

“Habis itu, sape yang pangku Ketua Pemuda?” saya bertanya lagi.

“Wakil (Naib) Ketua Pemuda masa ini Datuk Tengku Zaid (Ahmad). Dia Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu. Dia menang Pilihan Raya Kecil masa (Abdul) Samad Ghul (Ahmad Mianji) kena bunuh tahun ’67. Tahun’ 69 menang lagi. Dia ini anak raja Kelantan. Ayah dia, Tengku Panglima Raja (Tengku Ahmad Panglima Raja). Sebelum masuk PAS, dia Pemerintah Markaz Tentera berpangkat Mejar. Jadi, dialah yang jadi Pemangku Ketua Pemuda.

“Ana pula, dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda (PAS Pusat) untuk memangku Wakil Ketua. Jadi, ana ini jadi orang nombor dua Pemuda,” cerita Ustaz lagi.

“Kat Keramat, Kak Dah buat kijer apa?” saya bertanya lagi memandangkan kos hidup di kota lebih berat berbanding dengan di Taiping.

“Kerja-kerja biasa. Memasak, kadang-kadang mengajar mengaji. Alhamdulillah, kami boleh hidup je.

“Kebetulan, di Datuk Keramat ini, kami tiga beranak (Ustaz Baharuddin, Ustaz Othman dan Ustaz Hassan) ini ustaz-ustaz. Jadi ramailah budak-budak datang mengaji. Ustaz Hayati dan Ustazah Fatimah yang mengajar mengaji. Jadi, rumah kami ini, selain menjadi tempat tidur kawan-kawan yang datang jauh, juga jadi tempat budak-budak mengaji,” cerita Ustaz lagi.

Satu hari, Prof Dr Supyan Husin memberitahu saya, dulu beliau mengaji al-Quran di rumah Ustazah Fatimah dan Ustazah Hayati. Sebab itu dia kenal anak-anak pimpinan PAS ini. Rumah Dr Supyan di Lorong 10, rumah Ustaz di Lorong 5. Pada satu giliran yang lain, Dr Supyan yang selalu bersama saya dalam pasukan pemikir Dewan Pemuda PAS sejak akhir zaman Ustaz Abu Bakar Chik, dilantik oleh Ustaz Hassan sebagai Ketua Penerangan PAS Selangor.

Demikian itulah, Ustaz dan rakan-rakannya melalui kesempitan hidup untuk membina kemajuan perjuangan PAS. Semoga Allah menerima amal-amal mereka.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 1/6/2020