Agong berkenan jadi responden pertama Banci 2020

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadi responden pertama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020).

Advertisement

Baginda juga turut bertitah supaya rakyat turut bersama-sama menjalankan tanggungjawab tersebut dalam video ringkas ditayangkan pada Majlis Pelancaran Banci 2020.

Pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

“Hari ini, beta telah mengisi e-Census (portal Banci 2020). Bersamalah kita menjalankan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed merakamkan penghargaan bagi pihak Jabatan Perangkaan kepada Baginda atas dorongan yang diberikan terhadap Banci 2020.

“Ini adalah kali pertama sebenarnya, tak pernah lagi kita mendapat Ketua Negara memberi sokongan yang begitu kuat,” katanya.
 
Mustapa berkata walaupun negara berhadapan dengan cabaran ketika ini, adalah penting Banci 2020 diteruskan dan berharap rakyat di seluruh negara akan memberi kerjasama sepenuhnya.

Katanya 108 soalan dalam Banci 2020 telah mengambil kira maklum balas pelbagai pihak termasuk dari kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

“Hari ini landskap pekerjaan di dalam negara sudah berubah, dulu pekerjaan formal, sekarang banyak pekerjaan tidak formal, jadi kita telah dapat banyak pandangan daripada pelbagai pihak dan pandangan Kabinet,” katanya.

Mustapa berkata data yang tepat amat penting untuk kerajaan membuat perancangan termasuk untuk penyediaan belanjawan tahunan, Rancangan Malaysia ke-12, dasar pendidikan, perumahan, kesihatan dan insfrastruktur. – BERNAMA