MAFI serius capai Dasar Sekuriti Makanan Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serius dalam memastikan hasrat kerajaan terhadap jaminan dan pelaksanaan Dasar Sekuriti Makanan Negara yang lebih holistik dan mampan dapat dicapai.

Advertisement

Sehubungan itu, Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara telah ditubuhkan pada 29 April lalu dan mengadakan mesyuarat buat julung kalinya di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), semalam.

Mesyuarat dipengerusikan Menteri MAFI, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee dan disertai Timbalan Menteri MAFI I dan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dan Dato’ Seri Ahmad Hamzah ini dianggotai 17 ahli tetap yang bertanggungjawab selaku komiti penyelaras.

Selain Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, jabatan dan agensi, turut bersama adalah ahli akademik, pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan mencadang strategi dan pelan tindakan berkaitan.

Jawatankuasa Kabinet terhadap dasar ini pula akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengenal pasti intervensi kerajaan dalam mencapai objektif disasarkan berdasarkan idea dan saranan Jawatankuasa Eksekutif.

Antara yang diberi perhatian adalah melibatkan penggunaan teknologi terkini, pembiayaan kredit dan aktiviti pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi bagi menjadikan sektor ini antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 15/7/2020