Raya Aidiladha, Bulan Kebangsaan dan Covid-19

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud, “Allah tidak memberati tugas seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya,” (Surah al-Baqarah: 286)

Sejak seminggu ini telah mula kedengar dicorong-corong radio sama ada milik kerajaan Malaysia mahupun swasta, menyiarkan lagu hari raya.

Lagu raya seumpama itu tidak lagi mengikut norma biasa, kerana dimainkan menjelangnya Hari Raya Aidiladha. Bahkan, ada yang menyiarkan lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri.

Aidiladha akan disambut pada 10 Zulhijjah 1441H bersama 31 Julai 2020 iaitu hari Jumaat, yang menjadi penghulu hari. Ini bermakna, ibadah Korban boleh dilaksanakan tetapi mengikut ‘Prosedur Operasi Standard’ (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Apapun, suatu berita yang menggembirakan rakyat seluruhnya apabila umat Islam di negara ini dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman, tidak seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020.

Advertisement

Meskipun negara masih tidak bebas dari wabak pandemik Covid-19, tetapi masih berjaga-jaga di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. Kita tidak mahu selepas ini wujud pula kluster Aidiladha atau kluster ‘korban’ kerana Covid-19.

Sebagai peringatan, ibadah korban itu hanya boleh diadakan selama empat hari iaitu hari pertama Raya Aidiladha (31 Julai) dan tiga hari Tasyrik iaitu hari kedua 11 Zulhijjah (1 Ogos), 12 Zulhijjah (2 Ogos) dan 13 Zulhijjah pada 3 Ogos 2020.

Bulan Kebangsaan 2020

Pada 28 Julai, telah diadakan serentak di seluruh negara Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020. Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah merasmikan majlis pelancaran itu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Manakala, di Terengganu pula majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Besarnya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, di hadapan 200 tetamu hadirinnya.

Sebagai satu peringatan umum. Sekitar 50 tahun lalu, sesuai dengan sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini. Maka, pada 31 Ogos 1970, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Almarhum), pada waktu itu Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, yang menjadi Yang di-Pertuan Agong keempat ketika itu, dan dalam masa yang sama menjadi Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu ke-16, telah mengistiharkan Rukun Negara yang kekal hingga hari ini.

Rukun Negara yang berkait dengan sambutan Bulan Kemerdekaan kita ini, menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang ingin dibentuk, beserta dengan lima prinsip Rukun Negara, yang sama-sama kita tahu dan perlu kita teladani.

Iaitu pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan. Kedua, Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Ketiga, Keluhuran Perlembagaan. Keempat, Kedaulatan Undang-Undang dan kelima, Kesopanan Dan Kesusilaan.

Kebimbangan yang kita hadapi sekarang ini, apabila rakyat dan generasi baharu dalam masyarakat majmuk di negara ini kurang mengambil cakna dan perhatian kepada Rukun Negara. Sebab itu, mutakhir ini berlaku 1001 jenis perangai dan sikap warga Malaysia.

Apabila mereka jahil dan bebal dengan prinsip Rukun Negara, pelbagai kata nista dan kejian turut dilontarkan kepada pemimpin negara termasuk ke atas Duli Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan alim ulamak. Agama rasmi Persekutuan turut dipersendakan dan dihina oleh mereka yang jahil serta ‘buta’ terhadap rukun tersebut.

Covid-19

Wabak pandemik Coronavirus atau panggilan ‘maut’ penyakit ini Covid-19. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi ‘AMARAN’ kepada kita semua, supaya berjaga-jaga dan berwaspada dengan kemunculan ‘gelombang ketiga’ Covid-19 itu.

Jika gelombang pertama dibawa oleh kluster pelancong dari China yang memasuki negara ini melalui Singapura seawal Januari 2020, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih memerintah negara.

Gelombang kedua pula daripada kluster luar negara yang baharu pulang ke tanahair ini. Namun, kerja keras kerajaan dan pihak KKM serta yang berada di barisan hadapan, yang disebut ‘frontliner’ masih mampu mengawal keadaan ini. Syabas dan Tahniah diucapkan kepada mereka.

Apa yang penting dan perlu diamalkan ialah pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Memanglah tidak dinafikan, pematuhan kepada SOP itu agak sukar kerana tidak biasa, merimaskan dan menyusahkan untuk diamalkan.

Namun, apakah kerana sikap tidak ambil cakna atau tidak berdisiplin itu kita semua mahu negara ini kembali kepada arahan PKP untuk dikuatkuasakan? Apakah kita tidak serik dengan kepayahan ketika PKP mula dikuatkuasakan, sehingga tidak ada orang biasa boleh merayau bebas dijalanan.

Kesianlah kepada anak-anak kita yang baharu mulakan persekolahan sesi baharu pra-covid19 seminggu lalu. Anak-anak sekolah kita tidak dapat belajar dengan sempurna dan dicutikan sebelum ini kerana virus yang membunuh itu. Jika wabak ini terus meningkat dan mencecah tiga angka jangkitan setiap hari. Maka, negara kita sekali lagi akan dikenakan tindakan PKP yang akan menjejaskan kehidupan rakyat serta ekonomi negara merudum.

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD- HARAKAHDAILY 29/7/2020