Stesen Kuarantin beroperasi semula 24 Julai

KUALA LUMPUR: Bermula 24 Julai lalu kerajaan memutuskan supaya semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing ke Malaysia perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan sebanyak 1,755 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Advertisement

“PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.

Menurut beliau, sejak 24 Julai sehingga 28 Julai 2020, seramai 2,174 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 13 Stesen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak dan Johor.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, seramai 7 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, individu-individu berkenaan telah pulang dari 22 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, UK, Belanda dan Australia. – HARAKAHDAILY 29/7/2020