Masalah akhlak: K’jaan perlu tambah baik didikan

IPOH: Perilaku yang melanggar norma agama dan masyarakat seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram harus dibendung dengan menambah baik mutu pendidikan di sekolah. 
 
Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Hasna’ Abd Samad berkata, ketegasan guru dalam mendidik anak murid di sekolah amat penting bagi mendidik masyarakat.
 
Mengulas isu pembunuhan adik-beradik dan rogol dalam kalangan remaja yang berlaku di Perak baru-baru ini katanya, ia berpunca daripada kurangnya didikan agama dan penghayatan sivik kerana dianggap jumud.
 
“Sistem pendidikan Malaysia Baru yang semakin inklusif di setiap peringkat memberi impak negatif terhadap kemenjadian murid di mana kuasa ketegasan guru dalam mendidik murid semakin terbatas. 
 
“Ibu bapa juga selaku penjaga seharusnya memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Biah solehah hendaklah diterapkan bermula dari rumah dengan mengamalkan gaya hidup yang menepati syarak selari dengan kehendak semasa,” ujarnya.
 
Ustazah Hasna’ turut menyeru agar pihak kerajaan memandang serius dalam memastikan pemimpin-pemimpin mempunyai nilai akhlak yang tinggi bagi melahirkan ikon-ikon mematuhi syarak. 
 
Tegasnya, sistem pendidikan yang sekular hari ini hendaklah digubal bermula dari peringkat pra sekolah dan penerapan nilai akhlak tinggi hendaklah diutamakan dalam pembelajaran di samping usaha memantapkan kejayaan dalam akademik. – HARAKAHDAILY 17/7/2019
Advertisement