Kajian buruh paksa kanak-kanak akan dihantar

KUALA LUMPUR: Kajian berkaitan realiti penggunaan buruh paksa dan buruk kanak-kanak di Malaysia akan dihantar secepat mungkin ke Jabatan Buruh Amerika Syarikat (DOL).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kajian itu telah pun dimuktamadkan diperingkat Kabinet.

Advertisement

Katanya, antara intipati kajian tersebut adalah untuk memberitahu bahawa aktiviti buruh paksa yang berlaku di Malaysia hanyalah dalam kuantiti yang sangat kecil.

Bagaimanapun, kerajaan berusaha untuk menyelesaikan masalah itu dengan melarang khususnya sektor perladangan dan komoditi menggunakan buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

“Antara intipati kajian tersebut adalah memperakui berlakunya buruh paksa, namun ia hanyalah dalam kuantiti yang kecil.

“Bagaimanapun, kita menekankan khususnya kepada sektor perladangan dan komoditi bahawa pentingnya sebuah syarikat untuk tidak mengamalkan buruh paksa dan buruh kanak-akan. Itu fokus kerajaan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, kajian tersebut melibatkan beberapa kementerian antaranya Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Sumber Manusia dan wakil Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).- HARAKAHDAILY 5/8/2020