Dunia diminta tidak terus hukum Top Glove

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) kini dalam usaha menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam syarikat itu.

Advertisement

Syarikat itu dilaporkan berdepan larangan eksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) apabila Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) menghalang kemasukan kontena berisi sarung tangan getah daripada syarikat tersebut kerana dikatakan menggunakan khidmat buruh paksa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata syarikat itu sedang berusaha menyelesaikan isu berbangkit antara lain berkaitan buruh asing.

Manakala, berhubung yuran pengambilan pekerja yang didakwa belum dibayar, dalam polisi terkini syarikat tersebut akan menanggung segala kos yuran yang berkaitan.

“Isu yuran pengambilan pekerja yang didakwa belum dibayar adalah isu lama yang melibatkan 9,000 orang pekerja dan syarikat memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha untuk membayar balik.

“Top Glove juga memberi jaminan bahawa segala isu kebajikan pekerja akan diselesaikan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Justeru, Mohd Khairuddin mengharapkan dunia mendengar penjelasan daripada syarikat Top Glove dan tidak terus memandang serong.

Sebaliknya, dunia perlu menghargai sumbangan syarikat itu terutamanya dalam penghasilan sarung tangan ketika krisis penularan wabak Covid-19.

Manakala, menurut Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai yang turut hadir sama pada sidang media itu, memberi jaminan bahawa anggaran jumlah (yuran pengambilan pekerja) yang tidak dibayar akan diselesaikan secepat mungkin.

Lim turut yakin bahawa isu sekatan oleh Jabatan Kastam dan CBP dapat diselesaikan pada Ogos ini.

Top Glove sebelum ini dilaporkan berkata anggaran jumlah yang tidak dibayar adalah kira-kira RM20 juta hingga RM50 juta.- HARAKAHDAILY 5/8/2020