‘Anakku Sejahtera’ inisiatif baharu Kerajaan Kedah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan satu lagi inisitif menggembirakan buat rakyat negeri Jelapang Padi itu dengan memperkenalkan program Anakku Sejahtera bermula tahun hadapan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, bagi setiap kelahiran anak keluarga kumpulan B40, kerajaan negeri akan menyumbangkan RM100 ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Perkara tersebut dinyatakan beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Beliau turut memaklumkan mengenai bayaran gaji dan elaun para Pegawai Masjid dan Guru KAFA akan dipermudahkan menerusi kaedah pemindahan pembayaran elektronik (EFT).

“Sebelum ini pembayaran gaji guru KAFA dan pegawai masjid ini dibayar melalui cek. Dan prosedur untuk menyediakan pembayaran ini terlalu lambat. Dia bermula di pejabat agama daerah, penyediaan voucher.

“Kemudian itu buat cek di pejabat kewangan. Kemudian itu kewangan hantar balik ke daerah barulah pejabat agama itu pergi bank-in,” terangnya dalam mengatasi hal tersebut.

Kaedah tersebut memudahkan 333 guru Sekolah Agama Rakyat dan 1,486 Pegawai Masjid serta 3,286 Guru KAFA, sekali gus bermakna akan menerima gaji dan elaun setiap bulan sama waktu dengan kakitangan awam yang lain.

Melanjutkan makluman mengenai program Beras Sejahtera, katanya 50 penerima dari setiap DUN dipilih dalam kalangan penduduk miskin yang akan menerima bantuan RM50 setiap bulan yang mengandungi pakej makanan.

Sanusi turut memberitahu mengenai pelaksanaan majlis cabutan kerja undi secara atas talian (online) yang telah memasuki fasa tiga pada 13 Ogos ini melibatkan RM25,912,730.55 merangkumi 284 projek.

“Bagi kontraktor-kontraktor yang telah berjaya mendapat kerja masa fasa satu dan fasa dua, mereka tak lagi diberi peluang dalam cabutan kali ketiga ini. Kontraktor yang telah mendaftar, tapi belum bernasib baik sewaktu fasa satu dan fasa dua insya-Allah tuan-tuan ada rezeki dalam fasa tiga.

“Harap-harap cabutan nanti naiklah nama syarikat tuan-tuan. Jadi ini kaedah yang paling telus yang kita laksanakan,” ujarnya menasihati para kontraktor menggunakan aplikasi yang tersedia. – HARAKAHDAILY 5/8/2020

Advertisement