Penduduk di bawah TEMCO diagih makanan

ALOR SETAR: Penduduk di empat mukim yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) akan diberi bantuan makanan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu akan diurus Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama penghulu dan pemimpin masyarakat.

Advertisement

Katanya setakat ini kira-kira 2,000 keluarga dikenal pasti terlibat dengan TEMCO.

“Sumbangan makanan akan disampaikan melalui penghulu dan pemimpin setempat di mukim terbabit,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menurutnya juga peruntukan bagi tujuan itu akan disediakan kerajaan negeri di samping bantuan kerajaan pusat.

Bagaimana katanya penduduk di kawasan terlibat masih boleh mendapatkan keperluan harian di kedai dengan mengikuti SOP yang ditetapkan.

“Hanya seorang sahaja setiap keluarga dibenarkan keluar membeli keperluan harian. Pejabat Menteri Besar juga akan menyumbang pelitup muka kepada penduduk yang terjejas.

“Ini pengalaman pertama Kedah dikenakan TEMCO. Saya berharap rakyat bertenang. Laporan harian perkembangannya akan dibuat Pengarah Kesihatan Negeri,” ujar beliau.

Setakat ini, sebanyak 21 kes positif Covid-19 kluster Sivagangga dikesan di tiga mukim di Kubang Pasu serta satu mukim di Padang Terap kini diletakkan di bawah PKPD. – HARAKAHDAILY 5/8/2020