MPKK berakhir selepas Kerajaan PH tumbang

KOTA BHARU: Pada peringkat awal kewujudan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memperlihatkan ketelusan dan anjakan baharu pentadbiran peringkat kampung.

Pertama kali dalam sejarah diwujudkan jawatankuasa khas yang dianggotai 13 ahli yang mengandungi pengerusi dan setiausaha.

Advertisement

Malah pengerusi diberi elaun sebanyak RM500 sebulan, manakala setiausaha (RM300). Terdapat juga elaun kehadiran mesyuarat RM50 dan elaun pengendalian mesyuarat RM100.

Selain itu MPKK juga diberi geran kesejahteraan dan keceriaan kampung sebanyak RM10,000 setahun.

MPKK diluluskan kerajaan pada 27 Jun 2018. MPKK juga diwujudkan di Kelantan bermula awal 2019. Namun pada akhir 2019 segala elaun tersebut dimansuhkan setelah kerajaan PH mewujudkan pula MPKKP.

MPKKP hanya wujud di negeri yang diterajui PAS, BN dan GPS iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Bagaimanapun sekarang struktur MPKK tiada lagi selepas kerajaan PH tumbang pada akhir Februari lepas.

Kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) mengumum menubuh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKPP) bermula 1 Ogos lepas.

JKPP juga mempunyai 13 orang anggota termasuk pengerusi dan setiausaha, namun pelantikan ahli-ahlinya belum dimuktamadkan lagi.

Pengarah Urusetia Majlis Penghulu Kelantan Jamaluddin Ishak berkata, kerajaan negeri diberi kuasa melantikan ahli JKPP.

Katanya, sehingga sekarang belum dimuktamadkan prosedur pelantikan ahli JKPP.

“Antaranya bagi memastikan semua parti kompenan PN turut terlibat dalam JPKK yang baharu ini.

“Negeri-negeri yang ditadbir PAS dan BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis sudah ada pemimpin di peringkat akar umbi,” katanya di sini.

Menurutnya dalam konteks Kelantan katanya, jawatan penghulu sudah diwartakan sebagai pengerusi bagi MPKK sebelum ini.

Oleh itu katanya bagi mengelakkan tidak timbul isu dicadangkan pelantikan ahli bagi JPKK dilaksanakan bermula pada 2021. – HARAKAHDAILY 5/8/2020