Harapan untuk industri nasyid negara

Kerajaan mahu adakan anugerah nasyid peringkat kebangsaan dan antarabangsa

Kumpulan nasyid popular suatu ketika lalu Raihan pernah menerima kunjungan daripada Ratu Elizabeth.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam usaha menaiktaraf industri kreatif menjadi ekonomi kreatif bersetuju untuk mempromosi semula nasyid yang sebelum ini pernah mewarnai industri kreatif negara.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah, kerajaan bercadang untuk menganjurkan anugerah nasyid peringkat kebangsaan yang bermutu dan berprestij.

Advertisement

Katanya, anugerah nasyid peringkat kebangsaan yang bakal diadakan itu diharap bakal menjadi pembuka pintu untuk Malaysia menganjurkan anugerah nasyid peringkat antarabangsa supaya Malaysia dapat terus menjadi ‘home of contemporary nasyid‘.

“Pada minggu lalu, saya telah ada mesyuarat dengan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan kita telah bersetuju supaya kita mempromosi semula nasyid dan insya-Allah kita akan menganjurkan anugerah nasyid peringkat kebangsaan yang betul-betul bermutu dan berprestij.

“Dengan izin Tuhan, mudah-mudahan setahun selepas kita menganjurkan anugerah nasyid peringkat kebangsaan yang baharu itu atau yang diberi nafas baharu kepada yang telah sedia ada selama ini, kita mengadakan anugerah nasyid peringkat antarabangsa.

“Malaysia sudah pun dianggap oleh dunia luar sebagai, ‘the home of contemporary nasyid’. Ini bukan panggilan yang kita mendakwa tetapi panggilan yang diberikan oleh peminat-peminat nasyid di seluruh dunia. Kita akan cuba memartabatkannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan celahan Dato’ Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dalam sesi penggulungan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam. – HARAKAHDAILY 5/8/2020