Rafizi jangan hilang fokus

SEMUA masyarakat tertunggu-tunggu mengenai pendedahan YB Rafizi berhubung kait dengan dakwaan wang 1MDB yang dituduh PAS juga turut terlibat. Plotnya yang pertama PAS mendapat wang, kedua, orang yang rapat dengan PAS, ketiga bekas pemimpin PAS yang terlibat. Saya mengharapkan Yb Rafizi jangan hilang fokus.

Advertisement

Nama Ustaz Nasharudin Mat Isa yang disebut di dalam kenyataan media pada petang semalam. Kenapa hendak dikaitkan dengan PAS pula? Kenapa hendak dikaitkan dengan 1MDB dengan PAS. Kononnya PAS lunak dengan DS Najib kerana mendapat habuan daripada 1MDB. Ini satu tuduhan yang liar dan tidak bertanggungjawab.

Boleh baca Harakah mengenai pendirian PAS berhubung dengan  isu 1MDB, RM2.6 bilion, ketirisan. Terbaharu RUU 164 yang hendak dibawa oleh kerajaan di Parlimen, PAS sahaja yang lantang menentang. PAS tidak tuduh pula pemimpin pembangkang yang lain sudah dapat dedak, sagon dan tepung ubi  daripada DS Najib, sehingga tidak berani bersuara.

Ustaz Nasharudin sejak kalah di dalam pemilihan Timbalan Presiden PAS 2011, dia terus membawa diri. Tiba-tiba hendak kaitkan PAS dengan beliau. PAS tidak suka untuk fitnah kepada parti dan pimpinan parti lain,  jika ada di kalangan ahlinya atau pimpinannya yang terlibat dengan kes rasuah dan disiasat oleh SPRM. Jika sabit kesalahan maka individu tersebut yang bertanggungjawab. Melainkan terbukti jenayah itu merupakan keputusan parti, maka barulah boleh sabitkan dengan parti.

Bermula daripada tuduhan yang dibuat oleh Sarawak Report, Datuk Husam Musa dan terakhir, Rafizi Ramli semuanya dikaitkan dengan PAS. Mungkin selepas ini apa pula hendak dikaitkan dengan PAS. Matlamat mereka ialah hendak membentuk persepsi buruk terhadap PAS. Inilah satu cara untuk memusnahkan PAS.

Apa dosa PAS sehingga sanggup mereka berbuat demikian. PAS masih lagi parti pembangkang. Kenapa pula PAS yang diserang. Mana ada di dalam dunia demokrasi, pembangkang serang pembangkang, melainkan Pakatan pembangkang di Malaysia.

Cuma hendak ingatkan kepada mereka yang hendak memusnahkan PAS, insya-Allah tidak berjaya. Sudah 66 tahun PAS berada di persada politik tanah air dengan berbagai tuduhan dan fitnah yang dibuat oleh musuh PAS, namun PAS tetap segar. Kami berdoa kepada Allah SWT supaya Allah membalas tingkah laku dan perbuatan mereka serta diberi petunjuk. – HARAKAHDAILY 14/4/2017