Lepas sambut raya, sambut anak baru GST

KETIKA rakyat disempit dengan bebanan kos sara hidup yang terus meningkat. Keluhan daripada peniaga yang  sukar untuk menjual barang, keuntungan kecil, sedangkan modal bertambah besar angkara pukulan GST. Tiba-tiba bermula 1hb Julai 2017, ada 60 barang baru yang akan dikenakan GST. Ertinya selepas seminggu umat Islam menyambut hari raya, mereka akan sambut GST pula.

Advertisement

Pihak kerajaan tentu gembira kerana GST adalah jalan singkat untuk mendapat wang segera melalui GST. Kononnya harga barang akan turun dengan diperkenalkan GST hanya ilusi dan fantasi. Ia hanya khayalan dan candu untuk melalikan rakyat semata-mata.

GST yang diperkenalkan sejak 1 April  2015 telah memungut hasil yang agak lumayan.

Sejak 1 April 2015 hingga Disember 2015 kutipan GST ialah RM27.012 bilion. Daripada Januari 2016 hingga Disember 2016 sebanyak RM41.206 bilion. Ertinya Purata setiap bulan tahun 2015 ialah RM3 bilion. Manakala tahun 2016, setiap bulan RM3.4 bilion.

Bayangkan pada tahun 2016 Petronas  menyumbang RM31.7 bilion dicampur dengan kutipan GST pada tahun 2016 sebanyak RM41.2 bilion, jumlah semuanya RM72.9 bilion. Persoalannya ketika negara tanpa GST, rakyat masih dapat nikmat subsidi, tiba-tiba sewaktu GST dan Petronas pun masih menyumbang kenapa subsidi  pula dimansuhkan.

Ertinya mesti ada yang tidak kena dengan pengurusan kewangan negara. Kalau inilah caranya, berapa banyak pun pendapatan GST tidak akan mengurangkan bebanan hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 20/6/2017