Fastaqim 2.0: Persiapan tapak dijangka ‘beres’ awal

KERJA persiapan tapak Fastaqim 2.0 dijangka ‘beres’ lebih awal berikutan sambutan petugas yang begitu bersemangat, bukan sahaja dari kawasan Kuala Nerus bahkan sukarelawan yang datang dari kawasan Setiu.

Advertisement

siapKetua unit persiapan, Dr Alias Razak berkata, kerja-kerja pembersihan kawasan tapak bermula pada Jumaat, 8 September lalu dan akan berterusan sehingga Khamis, 28 September iaitu hari akhir untuk persiapan.

“Kita jangka kerja di tapak program dapat disiapkan lebih awal, mungkin dalam minggu ini pun kita sudah dapat membersihkan seluruh kawasan yang luas hampir 30 ekar ini. Hanya menunggu kehadiran peserta-peserta dari seluruh negara.

“Jadi, setakat ini saya selaku Ketua Unit Persiapan amat berpuas hati dengan kerjasama dan juga hasil kerja-kerja gotong royong daripada semua pihak. Saya ucap terima kasih banyak-banyak dan kalau kita tengok kawasan gerai jualan memang sangat luas.

“Kita jangkakan muat lebih daripada 200 gerai yang berkanopi dan insya Allah di hujung sana kita juga sediakan 100 lot tapak gerai yang tidak berkanopi,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau yang Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS negeri berkata demikian ketika ditemui di tapak Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, kelmarin.

Menurutnya, bahagian pemasangan kanopi dijangka akan mulai masuk pada 20 September diikuti elektrik dan air.

“Dan kerja-kerja akan lebih agresif selepas daripada 20 September ini oleh petugas-petugas kita bagi memastikan ianya berjaya disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan saya rasa inilah peluang yang sangat baik kepada peserta seluruh negara kerana tempat berlangsungnya Fastaqim kali ini merupakan tempat rekreasi.

“Kita ‘outdoor’ kali ini dengan suasana pantai dan laut yang menenangkan jiwa juga suasana nyaman dan redup bernaung di bawah pokok ru ditepi pantai seolah-olah kita hadir ke satu majlis perkelahan. Jadi amatlah rugi kalau tak datang,” ujarnya yang juga Adun Bukit Tunggal.

Justeru, beliau berharap dengan segala persiapan yang terbaik disediakan itu, seluruh peserta Fastaqim 2.0 akan merasa selesa dengan keluasan tempat yang begitu lumayan dan besar.

“Kepada seluruh ahli dan penyokong PAS, jom hadir beramai-ramai bagi menjayakan program Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal,” tambahnya.