UNIC tak akan berpatah balik!

UNIC sadalah sebuah kumpulan nasyid popular yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Apatah  lagi selepas menjadi juara dalam Gema Gegar Vaganza (GGV) terbitan Astro pertengahan 2017 namanya terus berada dalam kalangan peminat lagu-lagu nasyid dan anak muda hari ini. Dianggotai tiga ahlinya, iaitu Bazli, Fakhrul Razi dan Wan Najdi (Imam Muda Najdi),  dalam tempoh sebulan album ‘single’ Ainul Mardhiah (versi Gema Gegar Vaganza) 2017 mendapat dua juta tontonan di youtube. “Ini satu pencapaian luar biasa,” kata mereka semasa sesi soal jawab dengan Wartawan Harakah, ROY RASUL, 11 Oktober lalu.Ikuti wawancara ringkas bersama mereka.

Advertisement

HARAKAH: Boleh tahu apa pekembangan terkini kumpulan Unic selepas dinobatkan juara GGV?

Unic: Unic melancarkan single Ainul Mardhiah 2017 dan telah menerima dua juta tontonan di youtube hanya dalam tempoh sebulan. Ini satu pencapaian luar biasa untuk lagu genre nasyid untuk dengan dapat sambutan sebegitu rupa.  Selain dari itu Unic melancarkan online contest, ‘Unic  Got Starz  Asean’ dengan menyasarkan kumpulan-kumpulan sekitar rantau ASEAN..  Ia terbuka juga kepada mereka yang bergerak secara solo.  Maklumat lanjut berkenaan Unic  Got Starz  boleh didapati di laman sosial instagram dan facebook Unic.

Adakah Unic buat album terbaru dan siapa penerbitnya?

Ya, single terbaru daripada Unic dijangka akan keluar pada bulan Oktober ini, lagunya pula dari Omar K.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Selepas diangkat sebagai juara GGV bagaimana sambutan peminat, adakah peminat Unic melepasi sempadan negara.

Peminat Unic semakin luas terutama di kalangan negara Asean dan kami akan promosi serta terus dipergiatkan lagi bagi memastikan Unic akan terus berada di hati peminat di seluruh Asean khususnya.

Unic telah menjelajah ke luar negara jadi boleh tahu negara tersebut?

Jelajah Unic fokus kepada negara Asean dan juga dalam kerangka untuk jelajah ke negara Eropah dan negara lain.

Unic antara kumpulan nasyid dikenali ramai dan adakah hanya mahu bersandar kepada lagu nasyid atau versi ketuhanan?

InshaAllah single terbaru Unic akan lebih segar dan tidak tertakluk kepada irama nasyid sahaja.

Sambutan kepada lagu nasyid dilihat agak ‘slow’ jadi bagaimana Unic hadapinya?

Sambutan kepada lagu nasyid memang agak kelam kebelakangan ini.  Namun dapat kita lihat GGV telah menaikkan irama nasyid ke tahap yang cukup tinggi dengan tontonan melebihi 6 juta orang.

Mengapa peminat sukar untuk terima lagu-lagu bersifat ketuhanan berbanding tahun 90-an sebagaimana aura Rabbani, Raihan, Hijjaz dan lain-lain.

Peredaran zaman telah menyaksikan perubahan dalam genre muzik.  Bukan sahaja irama nasyid yang menerima tempias namun ia turut melibatkan genre lain seiring dengan perkembangan teknologi.

Nasyid klasik menggunakan peralatan muzik tradisional kini telah beralih ke arah yang lebih moden dengan penggunaan drum machine dan sebagainya.

Radio dan televisyen pun kurang mainkan lagu nasyid. Adakah faktor ini membuat lagu nasyid tiada sambutan?

Lagu nasyid kurang dimainkan di radio dan televisyen kerana genre nasyid Malaysia dalam fasa peralihan untuk memenuhi citarasa pendengar baharu yang lebih segar dan kontemporari.

Jika situasi sepertin ini berterusan apakah masih ada harapan untuk lagu-lagu ketuhanan dipeduli peminat?

Maher Zain, Harith J dan ramai lagi selebriti yang menampilkan lagu berentak moden dan segar mendapat sambutan luar biasa. Ini membuktikan lagu-lagu ketuhanan tidak dipandang sepi, malahan punya pendengarnya tersendiri dan sentiasa dinantikan kerana mampu mempengaruhi emosi dan menyuntik motivasi diri.  Justeru, andai perubahan dalam irama lagu yang dibawakan lebih segar pastinya akan kembali menjadi siulan para pendengar.

Bagi Unic pula adakah fenomena ini boleh melemahkan semangat anda?

Lima belas tahun Unic telah memperjuangkan irama nasyid dan akan terus berjuang dalam masa yang sama akan mengikut perkembangan semasa supaya tidak lapuk ditelan zaman. Untuk patah semangat, tidak sesekali.

Hakikatnya lagu ketuhanan boleh menbentuk jiwa manusia menjadi baik dan berakhlak. Apa perjuangan Unic untuk  menaikkan balik lagu-lagu nasyid ataupun ketuhanan.

Proses perubahan dalam rentak muzik perlu seiring manakala penasyid yang ada perlu terus giat melakukan perubahan dalam muzik untuk menepati citarasa masa kini. Dalam masa sama terus beristiqamah dalam menyebarkan mesej dan kebaikan untuk manfaat ummah.  Sesuai dengan habis Nabi SAW “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat. – HARAKAH 15/10/2017 {/mprestriction}