Bajet 2018: Bimbang peruntukan sektor kesihatan menurun

SEWAJARNYA Bajet 2018 yang bakal dibentang perlu ditingkatkan bajet untuk sektor kesihatan sebagai keperluan asas rakyat. Saya sangat bimbang sekiranya kerajaan memulakan secara perlahan-lahan proses untuk melepaskan perkhidmatan kesihatan dan melihat kesihatan bukan lagi asas perkhidmatan kerajaan terutama dalam kes rawatan perubatan yang memerlukan kos yang tinggi seperti rawatan kanser dan jantung.

Advertisement

Sekarang ini pun pesakit yang mendapat kecederaan seperti patah tulang dalam kemalangan perlu menyediakan wang ribuan ringgit yang dibayar tunai sebelum daripada pesakit ditolak masuk ke dewan bedah. Istilah orang awam ‘bayar harga besi nak sambung tulang patah’. Pengalaman berkhidmat menyantuni rakyat di peringkat bawah, saya terlibat secara langsung mengumpulkan dana dari pelbagai pihak agar pesakit dapat menjalani pembedahan. Jika dana belum cukup bermakna mereka perlu menunggu lagi. Bukan mudah bagi orang kampung untuk menyediakan wang beribu ringgit secara sekali gus dalam suasana ekonomi sekarang ini.

Semalam, ketika menziarahi seorang pesakit yang mengalami kecederaan tulang pinggul dalam kemalangan jalan raya, rintihan ini sekali lagi didengari. Lebih memeritkan lagi kerana kemalangan tersebut berlaku ketika beliau yang bekerja sebagai seorang pemandu bas sedang bercuti menyebabkan beliau tidak layak untuk mendapat sebarang bayaran dari PERKESO. Tempoh cuti sakit bergaji juga ada hadnya. Dilihat kepada perkembangan semasa, nampak agak sukar untuk beliau pulih dalam tempoh terdekat dan kembali bekerja. Bagaimana nanti bila beliau terpaksa bercuti tanpa gaji?

Sumber hasil negara sebenarnya sangat banyak sekiranya diuruskan secara bijaksana untuk menampung keperluan kesihatan rakyat tanpa rakyat perlu memiliki kad insuran kesihatan. Perkataan insurans kesihatan mudah disebut dan bila kita cerita berkenaan kes pesakit yang bermasalah untuk menampung kos rawatan, soalan yang biasa diajukan ialah, kenapa tak ambil insurans kesihatan? Yang bertanya tak fikir bahawa pesakit berkenaan sebenarnya hidup dalam keadaan cukup-cukup makan sahaja. Di mana mereka nak dapat duit untuk bayar caruman insurans setiap bulan. Insurans kesihatan adalah untuk orang yang mampu dan bukannya untuk rakyat marhaen yang kais pagi makan pagi, kais petang bayar hutang.

Kebimbangan penurunan peruntukan bajet untuk sektor kesihatan ini ada asasnya selepas berkurangnya sumbangan hasil minyak dan gas kepada kantung hasil negara. Kebergantungan utama kerajaan yang ada sekarang ialah kepada hasil cukai. Kita juga bimbang dengan kekurangan sumber hasil minyak dan gas maka kerajaan mengambil pilihan untuk menampung perbelanjaan keperluan sektor utama seperti kesihatan dengan menaikkan cukai atau meneroka cukai-cukai baru yang boleh dikutip dari rakyat. Bebankan rakyat untuk tampung keperluan rakyat.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat
25 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 25/10/2017